KUALA LUMPUR: Sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) masih kekal seperti kejayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang menyaksikan 70 peratus undi orang Melayu berpihak kepada parti itu.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, menafikan dakwaan bahawa sokongan ke atas PN merosot dan menyifatkan ia hanya taktik politik selepas parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan gagal menunaikan janji dan manifesto PRU15 lalu.
Beliau berkata, PN kini sedang bergerak untuk mendapatkan sokongan undi bukan Melayu, yang masih kurang berdasarkan keputusan PRU15.
"PN tidak melihat wujud sebarang gelombang, sama ada hijau atau biru dalam PRU15 yang lalu.
"Gelombang hijau itu adalah istilah yang diberikan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dengan pencapaian PN pada PRU lalu.
"Kini, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy Timbalan menyatakan ia semakin merosot. Saya lihat Ramasamy ini menggunakan strategi 'melambung' (memuji) dan dalam masa yang sama, mahu 'membunuh' keyakinan pengundi terhadap PN," katanya kepada BH.
Beliau mengulas kenyataan Ramasamy yang menyatakan lapan faktor menunjukkan 'gelombang hijau' semakin tidak berkesan berdasarkan situasi politik dan sosial semasa.
Ramasamy mendakwa kemerosotan itu berlaku akibat keadaan politik, sosial dan budaya di kawasan majoriti Melayu, yang semakin berkurangan terutama di negeri dikuasai PN di pantai timur dan utara tanah air.
Razali menegaskan, momentum sokongan terus kekal pada aras yang sama, terutama dalam kalangan pengundi muda.
Katanya, ukuran sokongan itu boleh jelas dilihat melalui komen dan pandangan pengundi terbabit di pelbagai platform media sosial.
"Pengundi muda ini juga menilai melalui tindakan yang diambil kerajaan seperti yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya. Banyak janji itu masih belum tertunai sehingga hari ini," katanya.
Selain itu, beliau berkata, sikap perkauman yang ditonjolkan DAP juga menyebabkan pengundi Melayu kurang yakin dengan parti itu, lebih-lebih lagi kini ia bergabung dengan UMNO.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mengaitkan kurangnya sokongan kepada PN kerana terbabit rasuah juga satu cubaan untuk mengalihkan isu sebenar.
"DAP juga terkait rasuah. Lihat saja pemimpinnya yang juga Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, yang mana pegawainya tidak sampai lima bulan berkhidmat, sudah dikaitkan dengan amalan buruk itu," katanya.