Ahad, 16 April 2023 | 4:15pm
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan ke atas peniaga yang menghalang laluan dan menyalahguna petak parkir di sekitar Bandar Tasik Selatan dan Lakefields di Sungai Besi. - Foto FB DBKL

DBKL 'pindahkan' penjaja halang laluan, monopoli petak parkir

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan operasi pada awal pagi tadi ke atas peniaga yang menjalankan perniagaan sehingga menghalang laluan di sekitar Bandar Tasik Selatan dan Lakefields di Sungai Besi.

DBKL dalam laman Facebook rasminya menyebut, peniaga berkenaan menyebabkan halangan serta memonopoli petak letak kenderaan di kawasan berkenaan.

Peniaga memasang khemah di kaki lima dan meletak kerusi serta meja di parkir kenderaan sehingga menjejaskan pengguna lain. - Foto FB DBKL
Peniaga memasang khemah di kaki lima dan meletak kerusi serta meja di parkir kenderaan sehingga menjejaskan pengguna lain. - Foto FB DBKL

Menurutnya, DBKL memberi peringatan kepada penjaja supaya tidak menimbulkan kesulitan kepada pihak lain, namun ada yang masih ingkar.

"DBKL sering menerima aduan serta rungutan orang ramai mengenai kesulitan yang dihadapi.

"Nak pesan satu je.. masing-masing saling bertimbang rasalah, sama-sama nak hidup selesakan?" menurutnya dalam status di media sosial itu.

Menerusi gambar yang dikongsikan oleh DBKL, terdapat lebih 10 gerai makanan yang memasang khemah di kaki lima, manakala kerusi dan meja untuk pelanggan diletakkan di petak parkir.

Sementara itu, berdasarkan komen pembaca pada status itu, rata-rata berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh DBKL dan berharap tindakan sama turut dilakukan di kawasan lain.

Berita Harian X