KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) disarankan meneliti semula dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP), termasuk tindakan ke atas pihak yang gagal membayar cukai, sebelum mengenakan sekatan ke luar negara.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata agensi itu tidak boleh terlalu menekan dan perlu bertindak adil ke atas semua pembayar cukai.
Beliau menyifatkan tindakan larangan ke luar negara hanya kerana tunggakan cukai kurang daripada RM100 itu adalah keterlaluan dan tidak adil kerana menyukarkan pembayar cukai untuk melakukan urusan di luar negara.
"LHDN perlu menetapkan jumlah had yang munasabah atau lebih besar, baru boleh laksanakan tindakan sebegini kepada pembayar cukai.
"LHDN juga mengeluarkan beberapa notis peringatan terlebih dahulu kepada pihak yang mempunyai tunggakan ini sebelum mengambil tindakan tegas ke atas mereka," katanya kepada BH.
BH dalam laporan eksklusif hari ini mendedahkan, seramai 180,216 individu dikenakan tindakan sekatan ke luar negara oleh LHDN kerana gagal membayar cukai berjumlah RM7.93 bilion.
Larangan ke luar negara itu dikenakan, sekali pun individu terbabit mempunyai tunggakan cukai kurang daripada RM100.
BH juga dimaklumkan, daripada seramai 180,216 individu yang dikenakan sekatan itu, seorang daripadanya mempunyai tunggakan cukai tertinggi, iaitu sebanyak RM1.884 bilion.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak, berkata adalah tidak adil untuk LHDN menghukum bagi jumlah yang kecil, termasuk mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara tanpa pengetahuan pembayar cukai.
Walaupun mengakui tindakan itu wajar bagi pihak yang sengaja melarikan diri daripada tanggungjawab membayar cukai, beliau menyarankan LHDN mengkaji semula kadar tunggakan cukai minimum yang membolehkan hukuman itu dilaksanakan.
"Tidak adil untuk menghukum bagi jumlah yang kecil sama ada menaikkan denda atau mengenakan sekatan perjalanan tanpa pengetahuan pembayar cukai.
"Ketika ini, kebanyakan cukai telah dipotong melalui potongan cukai bulanan (PCB) jika bekerja dan pelbagai bentuk ansuran bulanan lain.
"Kebanyakan mereka membayar cukai mengikut jadual, cuma mungkin ada sedikit tunggakan. LHDN perlu kaji semula jumlah tunggakan yang membolehkan hukuman tegas diambil," katanya.
Pada masa sama, beliau menyarankan orang ramai untuk menyemak status sekatan perjalanan sebelum ke luar negara melalui pautan yang disediakan dalam laman sesawang LHDN.