Sabtu, 15 April 2023 | 11:45pm
CUEPACS memohon skim perkhidmatan pembantu tadbir dinaikkan gred daripada lantikan N19. - Foto hiasan NSTP/KHAIRUNISAH LOKMAN.
CUEPACS memohon skim perkhidmatan pembantu tadbir dinaikkan gred daripada lantikan N19. - Foto hiasan NSTP/KHAIRUNISAH LOKMAN.

CUEPACS mohon naikkan skim pembantu tadbir N19

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbang penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir melalui pertambahan gred daripada lantikan N19 kepada gred baharu.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata cadangan untuk menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemuka kepada JPA, namun tiada tindakan diambil.

"Mesyuarat jawatankuasa tertinggi CUEPACS pada petang tadi membincangkan mengenai skim perkhidmatan awam tidak setara atau ketinggalan, iaitu berada pada perjawatan sama sejak mula perkhidmatan sehingga persaraan.

"Sebab itu, kami berbincang bagaimana untuk menyuarakan semula kepada kerajaan, mungkin dalam bentuk data dan sebagainya supaya pihak berwajib boleh membuat semakan khas skim yang berkhidmat melangkaui skop tugasan biasa, berbanding suatu ketika dahulu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis berbuka puasa CUEPACS di sini.

Adnan berkata, gred itu tidak berubah berikutan kelayakan memasuki perkhidmatan awam mengikut kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sedangkan daripada fungsi tugas harian dilalui penuh cabaran serta melangkaui bebanan kerja sedia ada.

"Terdapat kira-kira 350,000 pembantu tadbir (dahulu jawatannya kerani) dalam sektor perkhidmatan awam dan jawatan ini wujud sejak merdeka.

"Mereka bukan terhalang naik gaji tetapi perjawatan atau gred mereka tidak berubah, berbanding jawatan juruteknik dan juruaudit kini berubah daripada Gred 19 kepada Gred 29.

"Kita memohon kenaikan kerana beban tugas pembantu tadbir jauh sudah berubah dan jika ada kenaikan hanya membabitkan kenaikan RM45, iaitu RM100 kepada RM145.

"Selain itu, mungkin kelayakan masuk minimum berkelulusan diploma dan bukan lagi menggunakan SPM," katanya.

Pada Julai tahun lalu, CUEPACS mengesa kerajaan menaikkan Gred 19 kepada Gred 29 dan menyatakan pihaknya mahu berpiket di Putrajaya bersama penjawat awam.

Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah, dilaporkan berkata tempoh pandemik COVID-19 yang dilalui dua tahun lalu memungkinkan proses semakan gaji kakitangan kerajaan yang sepatutnya dilaksanakan setiap lima tahun sekali ditangguhkan daripada kitaran tahun sepatutnya.

Borhan berkata, semakan gaji sebelum ini pada 2015 dan semakan sepatutnya dibuat pada 2020.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CEUPACS berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas keprihatinannya membuat pembayaran bantuan khas Aidilfitri semalam.

"Bagi CUEPACS bantuan khas Aidilfitri penting, berikutan satu bantuan untuk penjawat awam berbelanja bagi persediaan menyambut Aidilfitri.

"Pada masa sama, walaupun gaji dibayar lebih awal tetapi jumlah bersih gaji tetap sama, maknanya tanggungjawab dan potongan kami masih sama. Jadi, bantuan itu beri kami lebihan untuk berbelanja untuk bukan komitmen," katanya.

Beliau berkata, penjawat awam perlu berbelanja secara berhemah kerana gaji bulan seterusnya selepas 45 hari.

"Justeru penjawat awam hendaklah berbelanja secara bijaksana kerana beban kewangan gaji bersih 20 hingga 40 peratus untuk bayaran balik pinjaman perumahan serta komitmen tetap lain," katanya.

Berita Harian X