Sabtu, 15 April 2023 | 8:51pm

Agong, Permaisuri berbuka puasa di padang bersama rakyat

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK1) di sini bersama rakyat, yang menjadi tradisi seri paduka dan keluarga pada bulan Ramadan.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke padang itu pada jam 6 petang diiringi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bersama-sama anakanda-anakanda.

Menyambut ketibaan seri paduka berdua ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Polis Negeri, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Sebelum berbuka, Al-Sultan Abdullah menyantuni penjual dan pengunjung bazar Ramadan Mahkota Square yang terletak bersebelahan padang itu, yang ingin bergambar bersama, selain baginda berkenan membeli pelbagai juadah berbuka puasa.

Tunku Azizah turut berkenan mengagihkan kira-kira 2,000 bekas bubur lambuk hasil air tangan baginda kepada pengunjung.

Seri paduka berdua kemudian turut mengurniakan sumbangan kepada 100 anak-anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan dan Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor. – BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Raja Pahang membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Mahkota Square hari ini.
Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Raja Pahang membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Mahkota Square hari ini.

Al-Sultan Abdullah meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat dan berbuka puasa di Padang Majlis Bandar Raya Kuantan, hari ini.
Al-Sultan Abdullah meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat dan berbuka puasa di Padang Majlis Bandar Raya Kuantan, hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah Aminah bersama anakanda sebelum waktu berbuka puasa di Padang Majlis Bandar Raya Kuantan bersama rakyat jelata hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah Aminah bersama anakanda sebelum waktu berbuka puasa di Padang Majlis Bandar Raya Kuantan bersama rakyat jelata hari ini.
Berita Harian X