SEREMBAN: DAP kekal dengan pendiriannya untuk bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), yang dijangka diadakan sekitar Julai depan.
Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke, berkata tiada perubahan atau kajian semula kerana pendirian itu selari dengan prinsip yang telah dipersetujui dalam kalangan parti yang berunding.
"Antara prinsip asas yang dipersetujui ialah kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), akan disandang oleh parti yang menang.
"Kalau kerusi itu dimenangi Barisan Nasional (BN), kita (DAP) tak boleh minta kerusi itu dan begitulah sebaliknya.
"Jika ini berlaku, ia akan menimbulkan masalah. Dalam hal ini, kita hormati iaitu kerusi penyandang akan terus disandang oleh parti yang menang.
"Untuk kerusi yang tidak dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan BN, itu kita berunding. Umpamanya kerusi di Kedah, Kelantan dan Terengganu, ia memerlukan rundingan antara PH dengan BN," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Permukiman Persediaan PRN DAP Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin dan barisan kepemimpinan parti itu di peringkat Negeri Sembilan.
Beliau mengulas mengenai hasrat BN Negeri Sembilan, yang meminta tambahan dua kerusi daripada 16 kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRN 2018.
Sebelum ini, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menyatakan hasrat untuk tambahan kerusi itu kepada Pengerusi PH negeri, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mengulas lanjut, Loke, yang juga Menteri Pengangkutan dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, berkata berbanding situasi di lima negeri yang lain, keadaan di Negeri Sembilan lebih dinamik kerana tiada pembangkang.
Beliau berkata, semua 36 kerusi DUN di negeri itu dimiliki parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas mengenai kemungkinan ada pihak yang tidak berpuas hati atau berkecil hati dalam isu pembahagian kerusi dalam kalangan Kerajaan Perpaduan, Loke berkata, perkara itu tidak timbul sama sekali.
Tegasnya, semua pihak perlu berlapang dada dan tidak boleh berkecil hati kerana pucuk pimpinan masing-masing amat memahami keadaan terbabit.
"Kita bercakap dalam hal kerjasama berasaskan prinsip dan jika tidak melanggar prinsip itu sepatutnya tidak timbul soal kecil hati dan sebagainya," katanya.