Jumaat, 14 April 2023 | 7:11pm
Abdul Hakim (tengah) melakukan gimik pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat sambil diperhatikan Johan Zep (kanan) hari ini. NSTP/FATHIL ASRI.
Abdul Hakim (tengah) melakukan gimik pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat sambil diperhatikan Johan Zep (kanan) hari ini. NSTP/FATHIL ASRI.

PPZ-MAIWP lancar inovasi bayar zakat guna kad berteknologi NFC

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menjadi institusi zakat pertama di dunia menampilkan inovasi kaedah pembayaran zakat menggunakan teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) menerusi sistem FassTap, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman, berkata pihaknya kini menjalankan ujian rintis bagi memperluas kaedah pembayaran itu secara sentuhan kad kredit atau debit di telefon bimbit melalui usaha sama Fass Payment Solutions Sdn Bhd (Fasspay) di tiga lokasi di ibu negara iaitu Masjid As-Syakirin KLCC, Masjid India dan Ibu Pejabat PPZ-MAIWP.

"Ujian rintis ini dilakukan secara percubaan selama empat hari untuk kegunaan zakat fitrah saja dan akan diperluaskan pada masa depan untuk kegunaan bayaran zakat lain.

"Melalui kaedah itu, pembayar zakat hanya perlu menyentuh kad kredit atau debit mereka pada telefon bimbit amil yang dilengkapi aplikasi FassTap yang dimajukan Fasspay untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

"Dengan adanya FassTap, ia lebih cepat, cekap dan selamat kerana kita tidak perlu menunggu lama untuk membayar zakat dan akan mendapat resit digital secara e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Kita akan menambah baik sistem ini dan melaksanakannya secepat mungkin jika aplikasi ini berjaya," katanya selepas merasmikan Ujian Rintis Pembayaran Zakat Fitrah di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP, di sini hari ini.

Abdul Hakim berkata, inovasi ini satu pencapaian membanggakan dan sistem ini mampu menawarkan pilihan lebih baik bagi keluarga yang mempunyai tanggungan ramai serta menggalakkan generasi muda menyempurnakan kewajipan sebagai umat Islam.

Mengulas kutipan zakat, beliau berkata, sepanjang Ramadan ini, PPZ-MAIWP menyasarkan pungutan zakat fitrah berjumlah RM13.8 juta.

Katanya, setakat ini pihaknya mengutip RM1.8 juta pembayaran zakat fitrah membabitkan 52,632 pembayar secara dalam talian.

"PPZ-MAIWP menjangka sasaran RM13.8 juta akan tercapai sebelum berakhir Ramadan apabila data pembayaran secara tunai kepada 921 amil di Wilayah Persekutuan dikumpulkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan Sektor Kerajaan dan Awam Fasspay, Johan Zep Md Yusof, berkata ujian rintis ini dilaksanakan bagi memberi pengalaman membayar zakat yang lancar, mudah dan selamat dilaksanakan khususnya kepada PPZ-MAIWP.

"Usaha sama ini sejajar aspirasi strategik kami iaitu menyokong seruan kerajaan memacu transformasi Malaysia kepada masyarakat tanpa tunai.

"Aplikasi ini juga membolehkan usahawan kecil-kecilan termasuk yang menjalankan perniagaan dari rumah menyalurkan pendapatan mereka terus ke akaun bank peribadi masing-masing," katanya.

Berita Harian X