ALOR SETAR: Proses pengagihan kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka selesai Ahad ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata setakat ini pembahagian kerusi di semua enam negeri terbabit sudah dimuktamadkan kecuali di dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan yang memerlukan rundingan lagi di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Di Negeri Sembilan dan Selangor ada dua (atau) tiga kerusi DUN tetapi di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, semuanya sudah selesai.
"Bagi Selangor dengan Negeri Sembilan, kita akan beri masa kepada mereka (pimpinan PN negeri), hari Ahad mereka akan berjumpa balik (selesaikan), bukan pasal apa, ini kerana (kerusi itu) 'hang nak, aku pun nak, jadi kita (adakan) rundingan.
"Sebenarnya kerusi DUN terbabit tidak panas sangat, biasa sahaja. Insya-Allah selesai," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Temasya Para Sukma XX di Kompleks Belia dan Sukan Kedah, di sini, malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan agihan kerusi DUN bagi PRN antara parti komponen PN sudah mencapai 80 peratus.
Tuan Ibrahim berkata, pembahagian kerusi DUN itu dibuat secara muafakat membabitkan seluruh parti komponen PN.
Katanya, perbincangan pusingan pertama proses itu berjalan lancar dan teratur.
Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan calon PN bakal membabitkan bekas pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dipecat parti seperti bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Muhammad Sanusi menjelaskan perbincangan belum memasuki peringkat calon lagi.
Katanya, perbincangan yang diadakan sebelum ini hanya membabitkan kerusi yang bakal ditandingi parti komponen PN pada PRN akan datang sahaja.
"Bukan, bukan...kita runding kerusi sahaja, bukan calon. Bincang kerusi pun tak panas sangat, biasa sahaja. Insya'Allah semua akan selesai Ahad ini," katanya.
Sebelum ini, terdapat laporan Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau sedang memikirkan tawaran dibuat PN untuk beliau bertanding di Negeri Sembilan pada PRN di negeri itu.