Khamis, 13 April 2023 | 8:39pm
Anwar pada Majlis Iftar bersama Warga Jabatan Perdana Menteri dan Petugas Hadapan di Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Anwar pada Majlis Iftar bersama Warga Jabatan Perdana Menteri dan Petugas Hadapan di Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Anwar rai warga JPM, petugas barisan hadapan

PUTRAJAYA: Seramai 1,200 warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan petugas barisan hadapan diraikan pada majlis iftar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Majlis yang diadakan di Dewan De Seri Endon Puspanitapuri itu, dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra bersama tetamu yang hadir selain menyantuni anak yatim dan pelajar tahfiz.

Beliau kemudiannya menyampaikan bantuan Infaq Ramadan kepada 25 wakil Kelab Bukit Perdana JPM dan sumbangan wang tunai kepada 40 pelajar tahfiz dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA-MAIWP) serta 40 orang anak yatim dari Rumah Pengasih Warga Prihatin.

Bantuan Infaq Ramadan dan Aidilfitri itu peruntukan daripada pengurusan kewangan wang zakat yang diterima oleh Kelab Bukit Perdana melalui Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Bantuan Infaq Ramadan dan Aidilfitri itu adalah acara tahunan bagi Kelab Bukit Perdana JPM.

Petugas barisan hadapan yang hadir terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Perdana Menteri berbuka puasa bersama Warga Jabatan Perdana Menteri dan Petugas Hadapan di Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Perdana Menteri berbuka puasa bersama Warga Jabatan Perdana Menteri dan Petugas Hadapan di Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Berita Harian X