Khamis, 13 April 2023 | 2:38pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pinda laporan audit 1MDB, 26 Mei tarikh pengurusan kes rayuan pendakwaan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 26 Mei ini untuk satu lagi tarikh pengurusan kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Peguam Arul Kanda, Jasmine Cheong ketika dihubungi, mengesahkan satu lagi tarikh pengurusan kes ditetapkan kerana rekod rayuan belum disiapkan.

Hari ini ditetapkan pengurusan kes rayuan pertama pihak pendakwaan yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron.

Selain Jasmine, turut hadir ialah peguam Alaistair Norman yang mewakili Najib dan Timbalan Pendakwa Raya, Parvin Hameedah Natchiar yang mewakili pendakwaan.

Pada 3 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Kedua-duanya dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, beliau sudah memberikan penilaian maksimum pada akhir kes pendakwaan dan tidak menemukan bukti untuk mensabitkan atau membuktikan Najib secara jelas mengarahkan pindaan dibuat untuk membebaskannya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Dalam kes Arul Kanda, hakim mendapati beliau (Arul Kanda) konsisten sepanjang keterangannya dan ia serasi dengan keterangan dikemukakan dan keterangan saksi lain.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan laporan itu bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 hingga 26 Februari 2016.

Pihak pendakwaan sudah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lalu. - BERNAMA

Berita Harian X