Selasa, 11 April 2023 | 10:38pm
Jamala (kiri) menerima watikah pelantikannya sebagai AJK UMNO Selangor daripada Megat Zulkarnain.
Jamala (kiri) menerima watikah pelantikannya sebagai AJK UMNO Selangor daripada Megat Zulkarnain.

Jamal dilantik AJK UMNO Selangor

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, dilantik Ahli Jawatankuasa UMNO Selangor walaupun terdapat dakwaan beliau menyogok untuk memenangi jawatan disandangnya itu.

Lantikan itu dikongsi sendiri oleh Jamal selepas menerima watikah pelantikan daripada Ketua UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, hari ini.

"Sukacita dimaklumkan dengan rasmi Datuk Seri Jamal Md Yunos, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Selangor bagi penggal 2023-2026," menurut surat pelantikan dikongsi Jamal itu.

Terdahulu, dilaporkan Jamal dipercayai dipanggil bagi pendengaran Lembaga Disiplin UMNO apabila didakwa menyogok 12 perwakilan untuk mengundinya, pada pemilihan parti.

Menerusi sepucuk surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun bertarikh 7 April lalu, Jamal dikatakan melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO yang boleh dihukum mengikut Fasal 20.9.

Dalam surat itu juga, perwakilan yang diberikan sogokan diarahkan bersumpah mengundi Jamal dalam pemilihan parti.

Hafarizam dalam surat itu berkata, kira-kira jam 6.15 petang 17 Mac lalu, Jamal memberi suapan RM1,000 kepada setiap 12 perwakilan dari Parit Sungai Haji Dorani, Parit 3 Jalan Lama, Sungai Limau, Simpang Tiga Loji dan Pekan Pasir Panjang.

Bagaimanapun, Jamal menafikan dakwaan sogokan itu pada pemilihan parti 18 Mac lalu.

Beliau menyifatkan dakwaan itu fitnah dibuat pihak lawan yang kalah dalam pemilihan parti peringkat bahagian Sungai Besar.

Berita Harian X