IPOH: Perdana Menteri tidak campur tangan dalam pendakwaan ke atas bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bukan beliau yang membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau menyuruh siasatan dilakukan ke atas Azlan.
"Yang paling akhir (penyelewengan), mantan Menteri Besar Perlis. Saya bukan siasat. Bukan saya yang buat laporan kepada SPRM atau polis.
"Sebaliknya, saya bagi arahan kerajaan sekarang ini, saya hendak selamatkan negara kita daripada pemimpin-pemimpin yang kayakan diri dengan merompak harta kekayaan negeri. Itu tekad saya.
"Susah senang saya hadapi. Kalau orang nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan. Tetapi, saya tidak akan tolak ansur daripada bersihkan negara ini dan selamatkan bangsa serta negara kita daripada tindakan orang yang merompak kekayaan negara.
"Bukan sedikit saudara-saudari.. Dan, ini termasuk pimpinan yang ada dalam kerajaan. Baik menteri atau di kerajaan negeri.
"Saya arah SPRM apa? Ambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang melakukan rasuah. Terutama setelah kita bagi amaran, dibuatnya juga," katanya berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Maghrib di Masjid Ittihadiah, Manjoi, di sini hari ini.
Hari ini, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis hari ini, terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir Perlis.