Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berbaur perkauman, membabitkan dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).
Kertas siasatan itu dibuka ke atas Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Ahli Parlimen Permatang Pauh yang Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
Abdul Hadi disiasat kerana mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia, manakala Muhammad Fawwaz pula didakwa memfitnah orang bukan Islam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan ke atas Abdul Hadi dan Muhammad Fawwaz dibuat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan.
Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan adalah berkaitan niat mengapi-apikan atau mungkin mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap golongan atau kaum lain.
Dakwa kenyataan fitnah
Beliau berkata, siasatan ke atas dua wakil rakyat itu turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
"(Ia) berhubung kenyataan dikeluarkan (ahli Parlimen) Permatang Pauh (Muhammad Fawwaz) yang dilaporkan membuat fitnah ke atas orang bukan Islam dan kenyataan dilaporkan (Ahli Parlimen) Marang (Abdul Hadi) berkenaan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia.
"Memandangkan kedua-dua kes masih dalam tindakan PDRM, saya tidak berhasrat mengulas lanjut untuk tidak mengganggu siasatan sedang dilaksanakan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengenai laporan polis terhadap Muhammad Fawwaz dan Abdul Hadi berhubung kenyataan berbaur fitnah kedua-dua ahli Parlimen berkenaan.
Sebelum ini, Muhammad Fawwaz menerusi entri di Facebooknya dilaporkan berkata: "... Dalam sirah belum pernah ada sejarah kafir ada keinginan untuk memartabatkan agamamu wahai Muslim, tetapi menjatuhkan agamamu selalu diingatkan dalam al-Quran."
Namun tidak lama kemudian dia memohon maaf dan berkata kenyataan berkenaan ditulis dan dimuat naik oleh pengendali Facebooknya, selain berharap isu berkenaan tidak diperbesarkan kerana kenyataan itu sudah dipadam.
Sementara itu, Abdul Hadi menerusi kenyataannya pada Ogos tahun lalu, mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
Pada 29 Ogos lalu, Abdul Hadi hadir ke Bukit Aman bagi membantu siasatan bersabit 28 laporan polis yang dibuat ke atasnya.
Rakam keterangan Hadi
Disember lalu, Abdul Hadi hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk dirakam keterangan berhubung satu laporan yang dibuat terhadapnya oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pada 10 November lalu.
Lip Eng, yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendakwa Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pakatan Harapan (PH), yang mengaitkan PH dengan fahaman komunis, anti-Raja serta anti-Tuhan dalam ceramah pilihan raya lalu. Bagaimanapun, tidak diketahui hasil siasatan kes itu.
Bulan lalu, satu lagi laporan polis dibuat Pemuda PH berhubung kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa PN sedang berusaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.