Ahad, 9 April 2023 | 8:26pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beramah mesra dengan seorang warga emas ketika mengurniakan sumbangan pada Majlis Pengurniaan Sumbangan kepada Asnaf dan Miskin Tanah Kesultanan Pekan di Istana Mangga Tunggal, hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beramah mesra dengan seorang warga emas ketika mengurniakan sumbangan pada Majlis Pengurniaan Sumbangan kepada Asnaf dan Miskin Tanah Kesultanan Pekan di Istana Mangga Tunggal, hari ini. - Foto BERNAMA

Agong, Raja Permaisuri santuni asnaf

PEKAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berangkat ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Asnaf dan Miskin yang menetap di Tanah Kesultanan Pekan di sini.

Turut berangkat ke majlis di perkarangan Istana Mangga Tunggal di sini, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Pada majlis itu, Seri Paduka berdua mengurniakan sumbangan peribadi dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 116 individu yang turut menerima kuih raya serta bubur lambuk sebagai juadah berbuka puasa.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan meluangkan masa menyantuni penerima dengan bertanya khabar serta menzahirkan ucapan selamat berpuasa.

Seorang penerima, Abdul Moris Zahari, 69, amat menghargai kurniaan baginda yang akan digunakan untuk membeli kerusi roda.

"Kerusi roda sedia ada telah rosak dan sumbangan ini memang rezeki untuk beli yang baharu kerana saya ada masalah saraf tunjang selepas kemalangan ketika menunggang motosikal empat tahun lalu," katanya.

Bekas petugas Kelab Polo Diraja Pahang di sini, Ismail Abdul Majid, 64, berkata sumbangan itu akan digunakan untuk membuat persiapan Aidilfitri.

"Alhamdulillah dalam bulan Ramadan terima kurniaan ini... terharu apabila baginda turut bertanya khabar dan masih mengingati saya kerana sering bertemu di kelab polo dahulu," kata bapa kepada empat anak itu. – BERNAMA

Berita Harian X