KUALA LUMPUR: Isu kuasa mutlak memberi pengampunan oleh Lembaga Pengampunan mendapat pandangan berbeza daripada pakar perlembagaan, bekas menteri undang-undang dan bekas Peguam Negara.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, berkata Yang di-Pertuan Agong akan bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan yang mana pihak Peguam Negara akan menyediakan laporan dan syor untuk dipertimbang.
Katanya, peruntukan itu digariskan menerusi Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
"Malaysia mengguna pakai konsep Raja Perlembagaan, maka Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan.
"Perkara 42(4)(a) menetapkan kuasa menerusi peruntukan itu adalah setakat kuasa boleh dijalankan Yang di-Pertuan Agong, antara fungsi boleh dibuat oleh undang-undang Persekutuan di bawah Fasal (3) Perkara 40," katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Terdahulu, peguam kanan, Zainur Zakaria, berkata Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan kepada seseorang melainkan mendapat nasihat daripada Lembaga Pengampunan.
Katanya, tugas Lembaga Pengampunan adalah menasihati Agong berhubung petisyen pengampunan yang dikemukakan oleh pemohon.
Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim, bahawa Agong tidak perlu mendengar nasihat perdana menteri atau Kabinet dalam memberikan pengampunan diraja kepada Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata walaupun ada peruntukan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan, keputusan baginda membuat keputusan adalah mutlak.
Malah, katanya, keputusan Seri Paduka tidak boleh dicampuri oleh mahkamah.
"Ya, memang ada lembaga penasihat, memang ada peguam negara tetapi Agong boleh tolak.
"Seperti melantik Perdana Menteri, tiada orang boleh nasihat, seperti membubarkan Parlimen, walaupun Perdana Menteri minta bubarkan namun ia boleh ditolak dan itu kuasa mutlak Agong.
"Itu adalah nasihat dan tidak semestinya dituruti, malah kalau tidak dituruti pun ia tidak boleh dicabar atau dihakimi di mahkamah.
"Ramai yang bercakap dengan sekali imbas dan tak faham untuk mentafsir Perlembagaan dengan membaca keputusan mahkamah terdahulu," katanya.
Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar, menegaskan Yang di-Pertuan Agong tidak terikat dengan pandangan mana-mana pihak.
Katanya, kuasa Agong adalah mutlak dan jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Agong ketika membuat keputusan tidak akan terikat dengan mana-mana pandangan.
"Walaupun tidak disebut, banyak kes sudah ditunjukkan bahawa kuasa Agong adalah mutlak dan tidak terikat mana-mana pihak termasuk Peguam Negara, bahkan saranan Lembaga Pengampunan pun Tuanku tidak perlu dengar," katanya.