Ahad, 9 April 2023 | 12:34am
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama jemaah selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, hari ini. - FotoBERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama jemaah selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, hari ini. - FotoBERNAMA

'Projek pembangunan KL mesti bantu golongan bawahan'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penangguhan pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) bertujuan memastikan ia mengikut kerangka Kerajaan Perpaduan berlandaskan konsep Malaysia MADANI.

Perdana Menteri berkata, projek pembangunan di ibu negara itu perlu dipastikan mampu membantu rakyat berpendapatan rendah.

"Ada tauke-tauke besar marah saya, saya bekukan sebab mahu kelulusan ikut kerangka pemikiran baharu kita.

"Kalau kamu buat projek besar dengan untungnya beratus juta atau berbilion, silakan tetapi mesti ada projek yang kamu lakukan itu membantu kalangan yang berpendapatan rendah.

"Kerajaan tidak mampu nak belanja keseluruhannya untuk rakyat yang berpendapatan rendah.

"Kita syaratkan ada projek yang memberi faedah kepada rakyat biasa. Kalau tidak, orang miskin tidak boleh duduk di Kuala Lumpur," katanya berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, antara perkara yang diilhamkan beliau bagi pembangunan di ibu kota ialah memastikan setiap gerai dan warung kelihatan cantik, bersih dan berseni.

Terdahulu, Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa PSKL 2040 akan ditangguh hingga 31 Mei bagi membolehkan lanjutan sesi libat urus oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Melalui kenyataan itu, beliau memaklumkan mengambil perhatian pandangan yang berkehendakkan supaya pewartaan dokumen itu ditangguh untuk memberi peluang lebih luas kepada pihak berkepentingan lain bagi menyatakan pendapat terhadap pelan pemajuan Kuala Lumpur. – BERNAMA

Berita Harian X