Sabtu, 8 April 2023 | 5:12pm

Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima santuni 30 ibu tunggal

BATU PAHAT: Program Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima hari ini tiba di daerah ini bagi menyantuni 30 ibu tunggal di Masjid Jamek Sabak Uni Parit Raja di sini.

Pelbagai aktiviti dijalankan di sekitar perkarangan masjid itu sekali gus menyuntik perasaan gembira dan semangat kepada golongan itu bagi bersama-sama menjalani ibadah puasa dan menyambut Syawal walaupun tanpa suami.

Anggota skuad bersama sebahagian ibu tunggal yang diraikan menganyam sarung ketupat nasi - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Anggota skuad bersama sebahagian ibu tunggal yang diraikan menganyam sarung ketupat nasi - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Majid Jamek Sabak Uni Parit Raja menjadi lokasi kesembilan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti seperti penyanyi Tajul Ariff; pelakon, Azrel Ismail; pelakon komedi, Acap Jamaludin dan hos OHBULAN! TV, Nasha Nazari serta Ash Nordin.

Anggota skuad bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada ahli kariah - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Anggota skuad bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada ahli kariah - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Menurut Acap, program yang bermula jam 10 pagi itu padat dengan aktiviti seperti bergotong-royong menganyam ketupat, memasak bubur lambuk dan lauk-pauk untuk jamuan berbuka puasa, membersihkan tanah perkuburan selain penyampaian sumbangan.

Beliau berkata, semua aktiviti disediakan adalah bagi memberi suntikan suasana Ramadan dan Syawal buat tetamu yang diraikan.

"Menyertai Skuad Seindah Kasih bagi program kali ini sangat menyeronokkan walaupun kita semua sedang berpuasa, semua bersemangat untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

ADUN Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali bersama anggota skuad menyediakan juadah berbuka puasa - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
ADUN Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali bersama anggota skuad menyediakan juadah berbuka puasa - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Alhamdulillah, kali ini kita dapat membuat amal bersama dengan komuniti di Sabak Uni Parit Raja sekali gus dapat menyantuni mereka termasuk 30 ibu tunggal dan mengeratkan silaturrahim sesama penduduk dan penganjur.

"Sekurang-kurangnya dengan kehadiran kita di sini dapat memberi kegembiraan dan mereka dapat merasai seperti ada keluarga yang bersama-sama mereka menyambut bulan puasa dan Aidilfitri," katanya ketika ditemui pada program itu hari ini.

Turut serta dalam program hari ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali, 33 Skuad Seindah Kasih, 20 belia Sabak Uni selain kariah masjid serta komuniti setempat.

Selain aktiviti, turut diadakan penyampaian sumbangan Kotak Rezeki yang mengandungi keperluan dapur seperti minyak masak, gula, tepung, sos dan beras.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Jamek Sabak Uni Parit Raja, Bahanin Ibrahim, 69, menyambut baik penganjuran program ini dan pihaknya bersyukur kerana mendapat pelbagai sumbangan termasuk sebuah pendingin hawa tajaan Panasonic bagi kegunaan masjid.

"Penganjuran program ini sangat baik dan memberi manfaat kepada komuniti di Sabak Uni dan pelbagai program diadakan bermula dengan menganyam 300 biji ketupat sejak malam tadi sebelum bersambung dengan gotong royong memasak lauk pauk untuk majlis berbuka puasa yang dijangka dihadiri kira-kira 200 tetamu.

"Program memasak bubur lambuk menggunakan 40 kilogram beras dilakukan kira-kira 100 orang termasuk komuniti dan kakitangan Media Prima.

Anggota skuad bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Anggota skuad bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"20 orang belia Sabak Uni turut mengadakan gotong royong membersihkan kawasan perkuburan," katanya.

Katanya, program tazkirah Seindah Kasih diadakan selepas solat Asar selain pengagihan bubur lambuk kepada komuniti setempat termasuk di Bazar Ramadan Ayer Hitam dan Bazar Ramadan Parit Raja.

"Pihak penganjur dan penaja juga bermurah hati memyampaikan sumbangan kepada 30 ibu tunggal setempat selain sumbangan 10 kerusi untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU) bersolat," katanya.

Berita Harian X