Jumaat, 7 April 2023 | 6:33pm

Skuad Seindah Kasih santuni anak yatim di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Program Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima hari ini tiba di daerah ini bagi menyantuni 20 anak-anak yatim di Rumah Anak-anak Yatim Shafar, Kampung Pasir di sini.

Pelbagai aktiviti dijalankan di rumah kebajikan itu sekali gus membawa kegembiraan buat penghuninya yang terdiri daripada kanak-kanak perempuan berusia tujuh hingga 12 tahun.

Rumah Anak-anak Yatim Shafar yang menjadi lokasi kelapan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti seperti penyanyi terkenal, Tajul Ariff; pelakon, Azrel Ismail; pelakon komedi, Acap Jamaludin dan hos OHBULAN! TV, Nasha Nazari serta Ash Nordin.

Penghuni rumah anak yatim menunjukkan kad hari raya yang telah disiapkan bersama-sama sempena program Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima di Rumah Anak-anak Yatim Shafar, Kampung Pasir, Johor - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Menurut Tajul, program yang bermula jam 10 pagi itu padat dengan aktiviti seperti mengecat tembok dan pagar, memasang langsir, melukis mural, ubah suai dekorasi, memasak juadah berbuka puasa selain aktiviti berkumpulan.

Beliau berkata, semua aktiviti disediakan adalah bagi memberi suntikan suasana Aidilfitri buat anak-anak yang diraikan.

"Menyertai Skuad Seindah Kasih bagi program kali ini sangat menyeronokkan walaupun kita semua sedang berpuasa, tetapi semua bersemangat untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

"Alhamdulillah, kali ini kita dapat membuat amal bersama dengan anak-anak yatim sekali gus kita dapat mendekati golongan kanak-kanak ini dan mengeratkan silaturrahim dengan mereka.

"Sekurang-kurangnya dengan kehadiran kita di sini dapat memberi kegembiraan dan mereka dapat merasai seperti ada keluarga yang bersama-sama mereka menyambut bulan puasa dan Aidilfiri," katanya ketika ditemui pada program itu di sini, hari ini.

Kru skuad dan 7 kompeni Kor Polis Tentera Diraja Kem Tebrau Johor Bahru membantu menyusun barang bantuan Kotak Rezeki sempena program Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima di Rumah Anak-anak Yatim Shafar, Kampung Pasir, Johor. Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Tajul turut berharap Skuad Seindah Kasih dapat dikekalkan dan pelbagai lagi program dapat diteruskan pada masa akan datang.

Turut serta dalam program kali ini ialah 33 Skuad Seindah Kasih, 20 pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), 20 pegawai dan anggota 7 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja Kem Tebrau serta pengurusan Rumah Anak-anak Yatim Shafar.

Selain aktiviti, turut diadakan penyampaian sumbangan 10 Kotak Rezeki yang mengandungi keperluan dapur seperti minyak masak, gula, tepung, sos dan beras.

Sementara itu, Pengasas Rumah Anak-anak Yatim Shafar, Fauziah Shaik Omar berkata, pihak pengurusan bersyukur dan berterima kasih kerana menjadi pilihan bagi program kali ini.

Katanya, penghuni rumah itu berasa sungguh gembira dan menanti kehadiran Skuad Seindah Kasih sejak awal pagi kerana tidak sabar melakukan aktiviti bersama.

"Anak-anak kami (penghuni) sungguh gembira apabila dapat tahu terpilih untuk sertai program ini dan hari ini mereka dah menanti dari pagi lagi. Mereka juga tidak sabar hendak menyambut Aidilfitri," katanya.

Perancang Strategik, Kumpulan Pemasaran, Media Prima Berhad, Hana Hatim (dua dari kiri) bersama artis, Tajul Ariff dan Azriel Ismail menyerahkan Kotak Rezeki kepada Pengasas, Fauziah Shaik Omar (tiga dari kanan) sempena program Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima di Rumah Anak-anak Yatim Shafar, Kampung Pasir, Johor. Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Esok, Skuad Seindah Kasih akan bergerak ke Masjid Jamek Sabak Uni, Parit Raja, Batu Pahat, bagi meraikan golongan ibu tunggal.

Artis, Tajul Ariff berswafoto bersama penghuni rumah anak yatim sempena program Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima di Rumah Anak-anak Yatim Shafar, Kampung Pasir, Johor - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Berita Harian X