Jumaat, 7 April 2023 | 3:06pm

AUKU 1971 tak sesuai dibatal tetapi boleh dipinda ikut kesesuaian - Anwar

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak wajar untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 selepas mempertimbangkan beberapa peruntukannya yang masih relevan dan penting.

Perdana Menteri sebaliknya menjelaskan kesediaan untuk meminda beberapa peruntukan mengikut akta berkenaan, namun tidak memperincikan seksyen khusus dalam AUKU 1971 yang mahu diteliti semula.

"Seperti dibangkitkan menteri (Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin) mari kita berunding (dan) pinda beberapa peruntukan (dalam AUKU 1971) yang perlu diperjelaskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) sempena lawatan rasminya ke institusi pengajian tinggi itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor.

Anwar bersalaman dengan pelajar selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Anwar bersalaman dengan pelajar selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Mengulas Jelajah Mansuh AUKU, Anwar berkata, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman wajar mengemukakan permohonan untuk mengadakan program berkenaan di premis ditetapkan penganjur.

"Saya terbuka untuk dengar (pihak penganjur) tetapi kena ikut peraturan. Kita tak fikir mahu sekat (penganjuran) melainkan ada sikap yang membawa kepada permusuhan kaum dan agama. Itu kita tegas.

"Kita mahu jaga keselamatan negara. Kelonggaran tidak bermakna orang boleh terus masuk (tanpa kebenaran). Kena maklumkan kepada tuan rumah.

"Kita perlu pastikan tidak terlalu mengawal atau mengongkong tetapi (penganjuran) mesti dimaklumkan. Pastikan tiada musuh yang boleh merosakkan suasana harmoni dalam kampus," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia memperluaskan pemberian Bantuan Tunai e-dompet Mahasiswa bernilai RM200 kepada semua mahasiswa di universiti awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang sebelum ini hanya terhad kepada pelajar berusia 18 hingga 20 tahun sahaja.

Anwar berucap pada Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia di UiTM Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Anwar berucap pada Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia di UiTM Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Malah, Anwar yang juga Menteri Kewangan, bersetuju menyelesaikan isu capaian internet di kampus yang dialami mahasiswa di seluruh negara.

"Sebab itu arahan kita sekarang dalam Kerajaan Perpaduan, termasuklah DNB (Digital Nasional Berhad) yang diselaraskan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, syarat pertama akses internet menyeluruh di seluruh negara, atau (5G) kita tidak teruskan.

"Bersama universiti, saya dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan adakan beberapa rancangan segera supaya akses internet ini mesti dipenuhi di semua kampus (universiti) di seluruh negara," katanya.

Anwar berucap pada Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia di UiTM Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Anwar berucap pada Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia di UiTM Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X