Khamis, 6 April 2023 | 6:14pm

Agong lawat bazar Ramadan, bertemu rakyat

GEORGETOWN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Bazar Ramadan Tanjong Tokong di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba di bazar itu pada jam 4 petang dengan Yang di-Pertuan Agong sendiri memandu kenderaan rasmi selain turut ditemani tiga anakanda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah serta Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.

Ketibaan Seri Paduka berdua disambut dan diiringi kenamaan utama negeri, diketuai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan barisan exco kerajaan negeri.

Sebaik tiba, Tunku Azizah berkenan mengacau seketika bubur lambuk sebelum baginda dan Al Sultan Abdullah mengagihkan hidangan itu kepada orang ramai yang berpusu-pusu datang ke bazar berkenaan untuk bertemu tetamu istimewa itu dari dekat.

Dalam kunjungan kira-kira 45 minit itu, Seri Paduka berdua berkenan membeli juadah berbuka puasa antaranya kuih serabai, qasidah, pasembor, nasi berani, kari kambing, nasi tomato, telur masak kurma, pulut udang dan rebung masak lemak.

Seri Paduka berdua turut meluangkan masa beramah mesra dan berswafoto bersama peniaga dan orang ramai dengan kira-kira 1,000 orang mengunjungi bazar itu yang menempatkan lebih 83 gerai menawarkan aneka makanan seperti kuih-muih lauk-pauk dan minuman.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan melawat Bazar Ramadan Tanjung Tokong hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan melawat Bazar Ramadan Tanjung Tokong hari ini. - NSTP/Mikail Ong

Seorang peniaga, Rosnani Arriffin, 54, berkata dia terpaku seketika apabila Tunku Azizah berhenti di gerainya dan berkenan membeli kuih qasidah buatannya.

"Rasa gembira sangat tak tahu nak kata apa kerana kami memang sudah lama teruja dan tertunggu-tunggu apabila tahu baginda berdua nak mai (datang) sini sejak seminggu lalu.

"Tunku permaisuri beritahu, kuih qasidah ini kuih lama dari Pahang dan baginda juga ada beli daging bakar di gerai kami," katanya.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual akan berbuka puasa di kediaman rasmi Yang dipertua negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi hari ini.

Terdahulu Seri Paduka berdua berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas pada jam 1 tengah hari tadi.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mencuba sediakan ikan bakar ketika melawat Bazar Ramadan Tanjong Tokong Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mencuba sediakan ikan bakar ketika melawat Bazar Ramadan Tanjong Tokong Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Pulau Pinang selama tiga hari.

Esok Yang di-Pertuan Agong dijadual merasmikan Masjid Jamek Ar Rahmani Kampung Banggol, Kepala Batas dan menunaikan solat Jumaat bersama penduduk kampung di masjid itu.

Raja Permaisuri Agong pula dijadualkan merasmikan Kompleks Darul Hanan, Pongsu Seribu, Kepala Batas.

Pada petang Jumaat, Seri Paduka Baginda berdua dijadual berangkat ke Majlis Nuzul al-Quran Kerajaan Pulau Pinang dan berbuka puasa di Masjid Negeri.

Pada Sabtu, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam negeri Pulau Pinang dan Hakim Syarie di Hotel Rasa Sayang sebelum berangkat pulang.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan melawat Bazar Ramadan Tanjung Tokong hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan melawat Bazar Ramadan Tanjung Tokong hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X