Khamis, 6 April 2023 | 2:37pm
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Penjara, hari ini. - Foto NSTP/ AZIAH AZMEE
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Penjara, hari ini. - Foto NSTP/ AZIAH AZMEE

Lebih 70,000 banduan sesuai jadi sumber tenaga kerja

KUALA LUMPUR: Lebih 70,000 banduan di negara ini dikenal pasti mempunyai nilai produktif untuk menjadi sumber tenaga kerja tempatan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata angka itu jika dimanfaatkan oleh majikan di negara ini, ia dapat membantu menangani masalah kekurangan pekerja yang dihadapi ketika ini.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggalakkan lebih ramai majikan membuka peluang menggaji banduan iaitu orang di bawah parol (ODP) atau orang diselia (ODS) dan bekas banduan terlebih dahulu, berbanding menggaji pekerja asing.

"Langkah ini juga seiring dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan bersasar kepada golongan mudah terjejas seperti yang digariskan di bawah Belanjawan 2023.

"Tahun ini, kita menyasarkan seramai 15,000 banduan akan mendapat pekerjaan menerusi kerjasama strategik yang dilakukan antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Penjara," katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi antara PERKESO dan JPM, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad; Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Nota Kolaborasi yang dimeterai itu adalah hasil kerjasama antara PERKESO dan JPM sejak 2021, bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran serta perlindungan sosial kepada banduan dan bekas banduan.

Sivakumar berkata, sejak kolaborasi itu diadakan pada hingga Mac ini, seramai 588 banduan, termasuk pelatih Sekolah Henry Gurney dan bekas banduan, berjaya mendapat tawaran dan penempatan pekerjaan.

"Daripada jumlah itu, 409 bekas banduan, empat banduan luar penjara dan 135 adalah penghuni Sekolah Henry Gurney.

"Dalam tempoh yang sama, majikan yang mengambil peluang di bawah program Insentif Penggajian dengan memberi latihan dan advokasi pula berjumlah 234 ODP dan ODS," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyeru pihak industri dan sektor swasta supaya lebih proaktif dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan seumpamanya, demi melahirkan masyarakat Madani yang berdaya saing bertunjangkan sikap saling menghormati dan meraikan kepelbagaian.

"Kepada majikan, kita tidak mensyaratkan, tetapi akan adakan program tertentu untuk pengetahuan majikan dan melihat mekanisma terbaik untuk membolehkan majikan bersedia menerima lebih ramai banduan atau bekas banduan sebagai pekerja mereka," katanya.

Sementara itu, Nordin berkata, sejak 2021, seramai 4,019 orang penghuni penjara sudah mendapat manfaat menerusi kerjasama antara JPM dan PERKESO.

"Mengambil kira kadar gaji minimum RM1,500 sebulan, sebanyak RM6,028,500 nilai produktiviti sudah berjaya dicairkan daripada penjara.

"Sehubungan itu, usaha mencairkan produktiviti yang dibekukan kesan daripada pemenjaraan akan turut menjadi fokus utama jabatan, memandangkan kira-kira 77,000 daripada 80,000 penghuni penjara masih lagi dalam kategori produktif, yang dapat menyumbang nilai produktiviti sekurang-kurangnya RM1.39 billion setahun kepada negara.

"Diharap usaha ini dapat memastikan nasib golongan ini dibela dan memastikan hasrat JPM ke arah dua pertiga penghuni yang layak, berpeluang menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030," katanya.

Untuk rekod, statistik JPM menunjukkan, seramai 74,842 adalah penghuni di dalam penjara, 5,860 (kategori penghuni luar penjara) seperti ODP, orang bekas berlesen (OBB), penghuni bebas lesen (PBL), Pusat Reintegrasi Penjara (PRP), Program Reintegrasi Penghuni Industri (PRPI) dan Rumah Perantaraan (RP) dengan keseluruhannya berjumlah 81,011 orang.

Berita Harian X