Khamis, 6 April 2023 | 12:37pm
Chang Lih Kang.
Chang Lih Kang.

'Hanya Anwar boleh buat keputusan...' - Lih Kang

PUTRAJAYA: Hanya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh membuat keputusan siapa calon Menteri Besar negeri yang dimenangi parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) dengan rakan kerjasama lain pada pilihan raya negeri (PRN), tidak lama lagi.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang, berkata isu berkaitan calon Menteri Besar juga tidak pernah dibincangkan lagi oleh barisan kepemimpinan parti setakat ini.

"Mengenai calon Menteri Besar, itu kena tanya presiden dan ia tidak dibincangkan lagi," katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada sidang media di kementeriannya, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memaklumkan bahawa gabungan itu akan menampilkan calon 'poster boy' untuk jawatan Menteri Besar di Negeri Sembilan dan Selangor.

Pengerusi PN Kedah yang juga Menteri Besar dilaporkan berkata, ia antara strategi PN untuk merampas dua negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) itu pada PRN nanti, namun beliau tidak memperincikan sama ada calon 'poster boy' itu daripada PAS, BERSATU atau GERAKAN.

Sementara itu, Lih Kang berkata, pembahagian kerusi antara parti komponen PH dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN masih dalam perbincangan, namun menegaskan perkembangannya sangat positif.

"Perkembangan berkenaan membabitkan semua negeri yang akan mengadakan PRN, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Kalau mengikut tradisi, keputusan mengenai pengagihan kerusi kita akan umumkan sehari sebelum atau pada hari penamaan calon," katanya berharap parti dapat memberikan keputusan berkenaan secepat mungkin, kecuali satu atau dua kerusi yang mungkin terlewat diputuskan.

Ahli Parlimen Tanjung Malim itu, berkata senarai calon juga masih belum dibincangkan kerana perbincangan sebelum ini hanya fokus pengagihan kerusi pilihan raya.

"Senarai calon masih belum sampai tahap perbincangan, sekarang kita bincang tentang pembahagian kerusi sahaja," katanya.

Kelmarin, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, pembahagian kerusi antara parti komponen PH sudah hampir selesai.

Berita Harian X