Rabu, 5 April 2023 | 10:20pm

PRN: BN, PH sepakat tiada pertembungan sama sendiri di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju memastikan tidak berlaku pertembungan antara satu sama lain di mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata ia berdasarkan persefahaman dicapai hasil perbincangan pihaknya bersama Menteri Besar yang juga Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun, melalui satu mesyuarat di sini, semalam.

"Persefahaman telah dicapai dari segi pembahagian kerusi antara kedua-dua pihak bahawa calon UMNO dan BN tidak akan bertembung sesama sendiri dengan calon PH pada PRN nanti.

"Itu keutamaan kita. Insya Allah kita akan mencapai kata sepakat mengenai perkara ini dan buat keputusan dalam masa terdekat.

"UMNO dan BN akan bertanding di kerusi yang akan ditentukan, begitu juga PH....fokus utama kita adalah untuk memastikan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan ini dapat dipertahankan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu mempengerusikan mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di sini.

Yang turut hadir semua ahli jawatankuasa yang baharu dilantik termasuk Timbalan Pengerusi, Datuk Hasim Rusdi; Ketua Penerangan, Datuk Ismail Lasim; Ketua Wanita, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid; Ketua Pemuda, Mohamad Fadil Md Zin dan Ketua Puteri, Hazratul Ilani Misdar.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, UMNO dan BN bercadang menambah dua kerusi dalam kawasan Parlimen Seremban dan Rasah bagi menampakkan keseimbangan terhadap kedudukan BN di kawasan berkenaan.

Ketika ini, kedua-dua kawasan Parlimen terbabit dikuasai sepenuhnya oleh wakil DAP kecuali DUN Lenggeng oleh AMANAH dan DUN Labu yang diwakili PKR.

"Saya berharap UMNO dan BN dapat diberi peluang bertanding di kawasan Parlimen Seremban dan Rasah dan sudah minta Menteri Besar untuk memberikan perhatian khusus agar BN diberikan peluang untuk bertanding dengan tambahan dua kerusi di kawasan terbabit.

"Ini bagi menampakkan ada gandingan antara parti dan saya percaya, kami akan dapat mencapai kata sepakat mengenai kerusi ini dalam masa terdekat bagi membolehkan kita membentuk kerajaan tanpa pembangkang selepas PRN nanti," katanya.

Jalaluddin (dua dari kiri) ketika sidang media Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Hotel Royal Chulan. - NSTP/ AZRUL EDHAM
Jalaluddin (dua dari kiri) ketika sidang media Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Hotel Royal Chulan. - NSTP/ AZRUL EDHAM
Berita Harian X