Selasa, 4 April 2023 | 10:25am

Melayu Islam diingatkan tak angkuh hingga pinggirkan minoriti

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan orang Melayu Islam sebagai kaum majoriti di negara ini tidak berasa begitu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kumpulan minoriti lain.

Menceritakan pengalamannya ketika berkunjung ke Kemboja baru-baru ini, Perdana Menteri, berkata beliau melihat sendiri bagaimana umat Islam minoriti di negara berkenaan dilayan.

"Saya iftar anjuran Perdana Menteri Kemboja bersama 6,000 umat Islam di sana. Umat islam di Kemboja hanya 10 peratus dan apabila diberi penghormatan, beri ucapan dan ke masjid di sana, saya sebut bahawa langkah ini menunjukkan negara majoriti (beragama) Buddha memberi dan meraikan kumpulan minoriti umat Islam dengan iftar dan beberapa ruang lain termasuk (melantik) menteri, seorang Muslim.

"Itu sebagai pengajaran, kadang-kadang kita yang majoriti (ini) rasa terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap tidak boleh meraikan kelompok (minoriti) lain dan ini bukan dianjurkan dalam pengajaran pedoman Nabi Muhammad SAW," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar fail
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar fail

Anwar berkata, dalam menjaga kepentingan majoriti Melayu Islam di Malaysia, prinsip saling menghormati dan hak semua rakyat perlu dijaga.

"Ini kerja keras kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan saya. Kalau di Kemboja umat islam diraikan, masjid jangan dirobohkan, hak mereka dipertahankan, malah diangkat sebagai menteri untuk mewakili kepentingan mereka.

"Begitulah halnya kepada semua negara lain tanpa mengorbankan kepentingan kelompok majoriti," katanya.

Anwar Ibrahim (kiri) yang juga Menteri Kewangan berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini. - Foto BERNAMA
Anwar Ibrahim (kiri) yang juga Menteri Kewangan berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X