Selasa, 4 April 2023 | 8:55am
Tiada sebarang perhimpunan doktor mogok dilaporkan berlaku di hospital seluruh Perak, semalam. - Foto hiasan
Tiada sebarang perhimpunan doktor mogok dilaporkan berlaku di hospital seluruh Perak, semalam. - Foto hiasan

Tiada doktor mogok di Perak, 100 peratus datang kerja

IPOH: Tiada sebarang perhimpunan doktor mogok dilaporkan berlaku di hospital seluruh Perak, semalam.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan ketika ditemui media di Majlis Iftar D' Atas Restoran, malam tadi.

Menurutnya, beliau sudah mendapat maklum balas daripada Pengarah Kesihatan Perak, Dr Sirajuddin Hashim yang memaklumkan, semua 2,144 doktor tetap dan 1,373 doktor kontrak di Perak hadir bekerja, semalam.

"Saya telah mendapatkan maklum balas daripada Pengarah Kesihatan Perak. Beliau maklumkan semua 100 peratus doktor datang kerja hari ni (semalam)," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kumpulan yang dikenali sebagai 'Mogok Doktor Malaysia' memaklumkan, kira-kira 8,000 doktor kontrak bercadang menyertai mogok dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan secara beramai-ramai atau meletakkan jawatan beramai-ramai pada 1 April.

Sivanesan berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada pagi semalam dan meminta pihak polis melakukan siasatan bagi mengenal pasti dalang di

sebalik desas-desus perhimpunan berkenaan.

Sivanesan ketika ditemui media pada Majlis Iftar D' Atas Restoran, malam tadi. - NSTP/Muhamad Lokman Khairi
Sivanesan ketika ditemui media pada Majlis Iftar D' Atas Restoran, malam tadi. - NSTP/Muhamad Lokman Khairi

"Doktor harus tahu hanya kesatuan boleh menganjurkan mogok mengikut Seksyen 45 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

"Namun, doktor bukan ahli kesatuan dan tidak ada kesatuan yang mewakili doktor," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Sivanesan juga sudah berbincang dengan Ketua Polis Perak mengenai isu kekurangan ruang parkir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sehingga memaksa pelawat hospital meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan .

"Saya sudah minta kerjasama pihak polis supaya memberikan kelonggaran sehingga 23 Mei agar tidak mengeluarkan saman terhadap pelawat di HRPB.

"Ini kerana ketika ini, kerja-kerja ubah suai ruang parkir di Greentown sedang dilaksanakan, jadi kita perlu 240 lot parkir. Kerja ubah suai itu akan tamat 23 Mei, jadi hanya tinggal kurang dua bulan sahaja.

"Ketua Polis Perak kata beliau akan ambil perhatian, tetapi 'double parking' tidak dibenarkan. Single parking okay, tetapi jangan ganggu (lalu lintas) kenderaan," katanya.

Sivanesan turut memaklumkan, sebuah syarikat dari China berminat untuk membina kompleks parkir bertingkat bagi mengatasi masalah limpahan kenderaan pelawat di bahu jalan.

"Saya sedang ada perbincangan bersama sebuah syarikat dari China. Mereka mahu bina 'multistorey car park' dengan segala perbelanjaan akan ditanggung oleh mereka.

"Saya minta mereka kemukakan kertas kerja dan kerajaan tidak perlu menanggung apa-apa kos pembinaan itu.

"Jika berjaya, pihak swasta akan bantu selesaikan masalah itu seperti di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," katanya.

Berita Harian X