Isnin, 3 April 2023 | 3:01pm
Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3; yang masing-masing meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap ketika berusaha menyelamatkan diri dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor di sini pada Rabu, lalu. - Foto ihsan Bomba
Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3; yang masing-masing meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap ketika berusaha menyelamatkan diri dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor di sini pada Rabu, lalu. - Foto ihsan Bomba

Jasad empat beradik menghadap Kiblat ketika pergi selama-lamanya

MUAR: 'Jasad empat anak saya terbaring kaku menghadap kiblat, bagai berjemaah ketika pergi buat selama-lamanya tempoh hari," kata suri rumah, Nabila Sedu, yang kematian semua anaknya dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor di sini pada Rabu, lalu.

Nabila, 31, berkata demikian ketika berkongsi kematian empat anaknya, Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3; yang masing-masing meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap ketika berusaha menyelamatkan diri daripada kebakaran dengan bersembunyi dalam bilik mandi kediaman itu.

Dalam kejadian 7.49 malam itu, kesemua mangsa ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di dalam bilik air kediaman berkenaan.

Nabila berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh rakan suami selepas selesai membeli barang keperluan berbuka puasa dan barangan lainnya, bahawa kediamannya sedang dijilat api.

"Saya segera bergegas pulang dan melihat keadaan api ketika itu, saya mengesyaki semua anak-anak telah meninggal dunia.

"Melihatkan keadaan jenazah mereka tersusun arah kiblat memang tersentuh serta wajah kesemuanya kelihatan sangat tenang dan sejuk mata memandang, seolah-olah baru berwuduk" katanya ketika ditemui di sebuah inap desa di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Kampung Sabak Awor, Ismail Mohd Shah.

Mangsa kebakaran, Thien (dua kiri, duduk belakang) isterinya, Nabila (tiga kiri belakang) menerima sumbangan pelbagai barangan dari Econsave Jalan Haji Jaib, Muar, hari ini. - NSTP/Ahmad Ismail
Mangsa kebakaran, Thien (dua kiri, duduk belakang) isterinya, Nabila (tiga kiri belakang) menerima sumbangan pelbagai barangan dari Econsave Jalan Haji Jaib, Muar, hari ini. - NSTP/Ahmad Ismail

Mengimbas juadah berbuka puasa kegemaran anak-anaknya, Nabila berkata, mereka amat gemar menikmati ayam golek.

"Hasrat itu tercapai apabila saya sempat membelinya di bazar Ramadan beberapa hari sebelum peristiwa itu berlaku.

"Selama ini, mereka sentiasa menceriakan suasana Ramadan keluarga kami. Saya bersyukur kerana sempat memenuhi keinginan hati mereka.

"Ia sangat bermakna buat kami kerana tidak menyangka Ramadan ini adalah yang terakhir bersama dengan anak-anak," katanya dalam nada sebak.

Katanya, sehari sebelum kejadian itu dia sempat bersenda gurau dengan semua anak-anaknya itu namun tiada sebarang petanda ganjil atau pelik yang ditunjukkan.

Jenazah empat beradik itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Batu 6 dekat Bakri.

Berita Harian X