PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih wujud 'budaya lama' cuba mendapatkan komisyen ketika berurusan dengan kerajaan.
Bercakap pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, Anwar berkata, walaupun mengambil masa, budaya itu harus dibersihkan.
"Kita tak boleh menafikan masih ada dan saya masih mendengar kadang-kadang ada orang minta komisyen, di pejabat saya, pejabat menteri, pejabat pegawai.
"Kaedah cekap dan bersih perlu ada dalam setiap urusan bagi menarik serta menambah keyakinan pelabur terhadap negara ini.
"Ini kerana budaya lama perlu dibersihkan, namun (saya faham) ia mengambil masa. Jadi saya minta kerjasama saudara dan saudari kerana apabila imej itu baik ia (menjadi) mudah sekali," katanya.
Perdana Menteri berkata hanya melalui imej yang bersih, mampu melonjakkan imej negara termasuk memberi keyakinan kepada pelabur untuk datang ke Malaysia.
Jelasnya, jika tadbir urus dan tata kelola serta imej baik dapat dikekalkan, beliau percaya masa depan negara akan lebih cerah berbanding sebelum ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kejayaan luar biasa lawatan rasminya ke China disebabkan usaha berterusan dan semangat berpasukan rentas kementerian yang dilaksanakan dengan baik.
Perdana Menteri berkata, kejayaan itu secara tidak langsung memberi keyakinan baharu kepada pelabur menerusi politik yang stabil serta ketetapan lebih jelas untuk ada kaedah baharu yang lebih cekap dan bersih.
"ini kerana bukan seorang Perdana Menteri, tetapi (sebagai) pasukan, pimpinan dan penjawat awam, menyusun acara, mendapatkan hampir 50 syarikat gergasi terbesar ini untuk boleh hadir.
"Ini kerana usaha dibuat bukan sahaja oleh Kementerian Luar tetapi juga kementerian terkait, berbincang dan menemui mereka (China) sebelum ada pertemuan itu," katanya.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui dengan imej Malaysia yang baik, beliau mendapat layanan luar biasa daripada Presiden (Xi Jinping) dan Perdana Menteri China (Li Qiang).
"Saya terkesan dan terharu, bukan sekadar layanan, malah perbincangan hati ke hati, menghormati pendirian kita, meneliti beberapa inisiatif termasuk mengenai pembangunan, keselamatan dan peradaban.
"Malah, dalam (kata) penghantar, dia (Jinping) sebut mengenai (konsep) madani, dia sebut minat saya yang suka mengkaji Confucius dan dia anggap kita suara dalam dunia Islam. jadi perbincangan itu penuh dengan penghormatan," katanya.