Isnin, 3 April 2023 | 9:54am
SPA sekat cubaan lebih 46,000 permohonan guna identiti palsu. - Foto hiasan
SPA sekat cubaan lebih 46,000 permohonan guna identiti palsu. - Foto hiasan

46,000 penipu identiti, warga asing mohon kerja sektor awam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berjaya mengesan dan menyekat cubaan lebih 46,000 individu, termasuk warga asing dan mereka yang menggunakan identiti palsu untuk memohon kerja dalam sektor awam sejak 2020 hingga 15 Mac lalu.

Mereka adalah antara 2.2 juta pemohon yang mengisi maklumat peribadi bagi memohon kekosongan perjawatan yang ditawarkan dalam sektor perkhidmatan awam bagi tempoh lebih dua tahun lalu.

Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata pihaknya dapat menyekat cubaan 'menceroboh' sistem perkhidmatan awam dengan menggunakan teknologi padanan nombor kad pengenalan pemohon dalam Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9).

Beliau mendedahkan sebanyak 45,846 permohonan dikesan membabitkan mereka yang dikategorikan sebagai rekod tidak sah kerana padanan nombor kad pengenalan tidak tepat, manakala 1,112 permohonan dibuat oleh bukan warga negara atau hanya berstatus penduduk tetap (PR).

Sebanyak 491 permohonan pula membabitkan mereka yang disenarai hitam atau penipuan pendaftaran kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Zainal Rahim berkata, cubaan melakukan pemalsuan, penyamaran dan penyalahgunaan identiti untuk memohon kerja dikesan SPA selepas disemak silang dengan maklumat di JPN.

"SPA sudah mengintegrasikan penggunaan kad pengenalan sebagai identiti pengguna dengan Sistem MyIdentity JPN bagi mendapatkan pengesahan kewarganegaraan individu yang memohon jawatan.

"Jadi, nombor kad pengenalan individu yang diisi dalam SPA9 membolehkan kita menjana semua maklumat peribadi, kelayakan akademik, pengesahan permohonan pekerjaan, pengemaskinian maklumat serta semakan status permohonan semasa.

"Langkah ini membolehkan SPA mengesan mana-mana pihak yang cuba melakukan pemalsuan, penyamaran dan penyalahgunaan identiti untuk memohon kerja dalam sektor kerajaan yang hanya dikhaskan untuk rakyat Malaysia," katanya kepada BH, semalam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Sistem padanan pekerjaan

SPA9 yang diperkenalkan sejak 2020 turut dilengkapi sistem padanan pekerjaan, iaitu menyediakan kemudahan kepada pemohon kerja untuk menyemak skim jawatan bersesuaian dengan kelayakan mereka.

Sistem itu dibangunkan dengan teknologi kecerdasan buatan menggunakan model pembelajaran mesin bagi menganalisis data pemohon kerja membabitkan kelayakan akademik, lokaliti pemohon dan ibu bapa, kelulusan peningkatan secara lantikan (PSL), jawatan bekas tentera, had umur serta bakat atau kemahiran.

Mengulas lanjut mengenai SPA9, Zainal Rahim berkata, sistem 'job matching' akan menyelaras dan melakukan padanan kerja berdasarkan syarat skim perkhidmatan dengan jawatan dimohon pemohon.

Katanya, melalui proses ini, pemohon menerusi SPA9 dapat mengetahui jawatan bersesuaian dan layak untuk dimohon.

"Penggunaan SPA9 juga dapat memastikan data permohonan yang diterima adalah sahih dan tepat, selaras inisiatif MyDIGITAL, iaitu perkongsian data antara sektor awam bagi memastikan kualiti data dan ketelusan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

"Sistem SPA9 mengadaptasi pendigitalan dengan menggunakan teknologi baharu seperti automasi, analisis data raya, simulasi, integrasi sistem, keselamatan siber, kepintaran buatan dan Internet of Things (internet kebendaan)," katanya.

Beliau berkata, berikutan data pemohon kerja yang semakin meningkat, teknologi analisis data raya dilaksanakan di SPA membolehkan keputusan dibuat berasaskan fakta dan data dengan lebih tepat serta sistematik.

"Sistem SPA9 yang berteknologi tinggi ini juga dapat membuat tapisan awal mengekang pihak tidak sepatutnya memasuki perkhidmatan awam.

"SPA9 juga berupaya membuat janaan data diperoleh secara automatik babitkan maklumat pemohon. Ia sekali gus mengurangkan keperluan pengisian maklumat pengguna secara manual, sekali gus mengurangkan kesilapan data dan ralat dalam permohonan pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata, hasil analisis dijalankan ke atas data pemohon kerja SPA mendapati 55 peratus daripada pemohon menggunakan telefon pintar bagi mengakses sistem SPA9, manakala 44 peratus menggunakan komputer dan 11 peratus lagi menerusi tablet.

Katanya, sistem SPA9 direka bentuk supaya lebih konsisten, responsif dan kebolehcapaian terhadap semua jenis pelayar internet dan peranti mudah alih.

Berita Harian X