KUALA LUMPUR: Tiada hari berlalu tanpa pembeli berasa sedih dan kecewa kerana harapan untuk menduduki Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Residensi Hektar Gombak yang mereka beli empat tahun lalu masih belum menjadi kenyataan.
Hingga kini pembeli masih belum dapat kunci rumah idaman walaupun sepatutnya mendapatnya pada 3 Mei tahun lalu, tetapi dimaklumkan terpaksa ditangguh akibat pandemik.
Menurut wakil pembeli Projek RUMAWIP Residensi Hektar Gombak, Azaman Ali, pemaju diberikan masa tambahan dan tarikh penyerahan kunci diubah kepada 19 Mac lalu tetapi hingga ke hari ini, projek ini masih lagi belum siap.
Malah, lebih parah lagi ia diklasifikasikan sebagai projek perumahan 'sakit' oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Kelewatan projek ini menjadi beban kewangan kepada kami. Sekurang-kurangnya setiap pembeli perlu menanggung perbelanjaan RM2,500 sebulan iaitu untuk membayar rumah kami yang belum siap ini dan juga rumah sewa sementara," katanya kepada BH di tapak perumahan Projek RUMAWIP Residensi Hektar Gombak bersama sebahagian pembeli lain.
Mengulas lanjut, Azaman berkata pihak pemaju ada menawarkan untuk memberi pampasan tetapi hanya akan membayarnya selepas kunci rumah diserahkan kepada pembeli.
"Memang ada pampasan yang ditawarkan tetapi sementara menunggu rumah itu siap dibina dan mendapatkan kunci rumah bagaimana kami nak menampung perbelanjaan? Kelewatan projek ini memberi tekanan kepada kami, malah boleh menyebabkan kami bankrap.
"Kami memilih projek ini kerana ia adalah satu inisiatif kerajaan yang disasarkan kepada kumpulan B40. Saya berharap pihak kerajaan boleh campur tangan bagi memastikan projek ini disiapkan terutamanya tanah projek ini berstatus Tanah Rizab Melayu. Semua 2,400 pembeli ini terdiri daripada orang Melayu dan kumpulan B40," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa pro-tem Pembeli RUMAWIP Residensi Hektar Gombak, Indra Isman mencadangkan supaya kerajaan menguatkuasakan akta bina dahulu dan jual kemudian bagi mengelakkan kejadian yang menimpa penduduk di sini tidak berulang.
"Bagi kami pembeli rumah yang terkesan dengan projek 'sakit' ini, akta bina dahulu dan jual kemudian ini dapat selesaikan masalah projek lewat dan terbengkalai. Jika akta ini diluluskan pemaju yang mempunyai kewangan yang kukuh sahaja boleh membina sesuatu projek perumahan.
"Seperti yang diketahui, kebanyakan projek 'sakit' ini berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi oleh pemaju, melalui akta ini kita dapat menghalang masalah ini daripada berlaku," katanya.
Selain itu, pembeli meminta kerajaan merangka perundangan untuk meletakkan tanggungjawab kepada pemaju untuk menanggung ansuran pinjaman bank sekiranya berlaku kelewatan supaya pembeli tidak akan terbeban.
"Selain itu, kami juga minta ada klausa pembeli tidak dikenakan penalti sekiranya pembeli mahu membatalkan perjanjian selepas projek dikategorikan sebagai lewat siap. Sebelum ini, perjanjian Jual dan Beli ini kurang berpihak kepada pembeli, kami berharap perkara ini dapat diubah," katanya.
Residensi Hektar Gombak dimulakan pada 2017 dengan Nilai Pembangunan Kasar RM700 juta. Setiap unit berharga RM266,000 dengan keluasan 800 kaki persegi dan RM299,900 dengan keluasan 850 kaki persegi.
Projek ini mempunyai lima blok dan dibina atas Tanah Rizab Melayu seluas 7.85 Hektar. Kesemua 2,400 unit sudah terjual.