Sabtu, 1 April 2023 | 2:55pm

Tingkat pengeluaran lateks bantu pekebun getah tambah baik pendapatan

BAGAN DATUK: Kerajaan akan menumpukan kepada peningkatan penghasilan lateks sebagai sebahagian daripada usaha untuk menambah baik pendapatan golongan pekebun getah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata selain meningkatkan harga komoditi itu, langkah berkenaan juga membantu dalam mengurangkan kebergantungan negara kepada import lateks bagi kegunaan industri tempatan yang mana nilainya ketika ini mencecah RM3 bilion.

Untuk itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menambah depoh pengeluaran lateks bagi membantu meningkatkan pengeluaran komoditi itu di negara ini.

"Walaupun getah beku masih banyak dikeluarkan, tetapi keprihatinan saya ialah mengeluarkan lebih banyak lateks.

"Ini juga dapat menyelamatkan RM3 bilion bagi import lateks, jika lebih banyak lateks dapat dihasilkan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Tadarus Al-Quran Perdana Sempena Ramadan 1444H Peringkat Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mekanisme untuk memastikan pengenalan harga lantai getah beku membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan penoreh getah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengakui harga getah ditentukan permintaan dan tawaran di peringkat global, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan telah mengumumkan harga lantai dipertingkatkan dengan lebih tinggi berbanding kerajaan sebelum itu.

Pada 24 Februari lalu, Anwar mengumumkan kenaikan harga lantai getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram menerusi Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023.

Ahmad Zahid ketika menghadiri Majlis Tadarrus Al-Quran Perdana Sempena Ramadhan 1444H Peringkat Parlimen Kawasan Bagan Datuk. - NSTP/ MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Ahmad Zahid ketika menghadiri Majlis Tadarrus Al-Quran Perdana Sempena Ramadhan 1444H Peringkat Parlimen Kawasan Bagan Datuk. - NSTP/ MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

Sementara itu, Ahmad Zahid percaya pengeluaran lebih banyak lateks akan membantu dari segi peningkatan harga komoditi itu, sekali gus membolehkan pekebun dan penoreh getah meraih pendapatan lebih tinggi.

"Sekiranya lateks dikeluarkan lebih banyak, maka tentunya apabila permintaan lebih banyak harga (lateks juga) akan meningkat.

"Depoh pengeluaran lateks akan diperbanyakkan. Dari segi jangka masa panjang, RISDA khususnya akan melakukan usaha bagi mempertingkatkan harga lantai (lateks)," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata kementeriannya mahu penghasilan lateks dapat dipertingkatkan berikutan kira-kira 80 peratus kegunaan domestik bahan itu adalah hasil import, dengan harga lateks ketika ini boleh mencecah RM6.37 sekilogram.

Ahmad Zahid merasmikan Program Gerak Rahmah 2023 Jom Masak Bubur Lambuk peringkat negeri Perak di KRT Hutan Melintang. - NSTP/ MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Ahmad Zahid merasmikan Program Gerak Rahmah 2023 Jom Masak Bubur Lambuk peringkat negeri Perak di KRT Hutan Melintang. - NSTP/ MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Berita Harian X