Jumaat, 31 March 2023 | 6:40pm

Tindakan terhadap Jailani, kita tunggu dan lihat, kata Rauf

AYER KEROH: Nanti kita cari rumah mana yang atap bocor.

Demikian kiasan Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika diajukan pertanyaan pengamal media.

Ia berhubung kenyataan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Jailani Khamis yang mendakwa pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu dibuat melalui 'pintu belakang'.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka turut tidak mengulas adakah parti akan menghukum Jailani berikutan kenyataan yang dibuat ADUN Rembia itu.

"Kita akan tunggu dan lihat," katanya ringkas pada sidang media di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini selepas upacara angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Jailani bertanding di kerusi DUN Rembia atas tiket Pakatan Harapan (PH) mewakili PKR.

Namun pada 2021, Jailani menyertai UMNO semula selepas meninggalkan parti itu pada 2016. Beliau bersama beberapa ADUN PH ketika itu, kemudiannya membuat keputusan menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) Melaka sekali gus menyebabkan kerajaan PH Melaka tumbang.

Serentak itu, PKR memecat keahliannya pada Mei lalu sebelum Muhamad Jailani bergerak sebagai ADUN Bebas.

Jailani pernah menjadi 'watak penting' bersama beberapa ADUN PH apabila pernah membuat keputusan menyertai Perikatan Nasional (PN) Melaka sekali gus menyebabkan kerajaan PH Melaka tumbang.

Jailani juga pernah bergerak sebagai ADUN Bebas selepas dilucutkan keahlian dalam PKR.

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada sidang media di Kompleks Seri Negeri selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada sidang media di Kompleks Seri Negeri selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X