Jumaat, 31 March 2023 | 6:02pm

Pertemuan empat mata Anwar-Jinping

BEIJING: Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping, di Dewan Besar Rakyat, di sini.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Jinping sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan mesyuarat yang berlangsung hampir sejam.

Ini pertemuan empat mata pertama dan bersejarah di antara kedua-dua pemimpin.

Anwar juga antara pemimpin asing pertama yang melawat China dan bertemu Jinping, yang dipilih semula sebagai Presiden China untuk penggal ketiga pada 10 Mac lalu.

Perbincangan kedua-duanya tertumpu kepada langkah-langkah baru yang boleh diambil untuk menyemarakkan lagi hubungan dua hala, selain membincangkan pendekatan lebih konkrit dalam mengukuh perdagangan dan kerjasama politik.

Turut bersama Anwar dalam kunjungan hormat itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Selain itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Menteri Pelancongan dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Selesai pertemuan dengan Jinping, Anwar bersama delegasi Malaysia kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Zhao Leji, juga di Dewan Besar Rakyat.

Perbincangan Anwar dan delegasinya bersama Leji pula tertumpu kepada kerjasama pada peringkat ahli-ahli Parlimen kedua-dua negara.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan rasmi sulungnya selama tiga hari di sini hingga esok, bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.

Esok, hari penting bagi Anwar yang dijadual akan mengadakan mesyuarat dua halanya dengan rakan sejawatannya, Li Qiang, sebaik selesai upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat di sini.

Perbincangan kedua-dua pemimpin esok akan tertumpu kepada pemerincian langkah-langkah yang boleh diambil khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Dijangka mereka akan menyentuh projek-projek tertentu yang akan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Pada akhir mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian sekurang-kurangnya tiga memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan.

Protokol pertama untuk meminda perjanjian bagi pemperluas dan memperdalam kerjasama ekonomi dan perdagangan di antara kerajaan Malaysia dan China, membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari Malaysia dan Kementerian Perdagangan dari China.

Seterusnya, protokol keperluan fitosanitasi untuk pengeksportan nangka ke China membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dari Malaysia dan Jabatan Pentadbiran Am Kastam China.

Protokol terakhir berkait keperluan kuarantin dan kesihatan untuk import pemakanan akuakultur dari Malaysia ke China membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dari Malaysia.

Delegasi Malaysia diketuai Anwar berbincang Jinping, hari ini. - Foto PEJABAT PERDANA MENTERI
Delegasi Malaysia diketuai Anwar berbincang Jinping, hari ini. - Foto PEJABAT PERDANA MENTERI

Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Jinping, di Beijing, hari ini. - Foto PEJABAT PERDANA MENTERI
Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Jinping, di Beijing, hari ini. - Foto PEJABAT PERDANA MENTERI
Berita Harian X