Jumaat, 31 March 2023 | 5:53pm
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

`Jangan pinda Akta Pencen 1980' - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk tidak melakukan pindaan terhadap Akta Pencen 1980, dalam usaha menyerap masuk petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa pencen.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata pihaknya mengalu-alukan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) itu, namun menolak pindaan terhadap Akta Pencen 1980 bagi memastikan ia tidak menjejaskan faedah yang dinikmati penjawat awam ketika ini.

"Sudah tentu langkah menyerap petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap dengan caruman KWSP ini akan membabitkan pindaan kepada Akta Pencen 1980.

"CUEPACS bimbang pindaan Akta Pencen 1980 ini akan memberi kesan kepada semua penjawat awam di masa akan datang apabila mereka tidak lagi dibenarkan memilih skim tetap berpencen ataupun caruman KWSP.

"Perkara ini sememangnya sudah sedia ada dalam Akta Pencen 1980, yang memberi pilihan kepada penjawat awam, sama ada memilih skim pencen atau KWSP," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau berharap, KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membabitkan CUEPACS dalam perbincangan bagi menyelesaikan permasalahan doktor kontrak ketika ini.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya memberi tumpuan kepada pegawai perubatan sahaja dalam soal kakitangan berstatus kontrak kerana terdapat puluhan ribu lagi perjawatan dalam KKM, malah kementerian lain juga ada kakitangan berstatus kontrak dan menunggu masa untuk tamat perkhidmatan.

Pada masa sama, CUEPACS menyeru semua penjawat awam, termasuk petugas di sektor kesihatan, untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan tugas kepada rakyat.

"Tindakan mogok tidak menyelesaikan sebarang permasalahan, sebaliknya boleh mengakibatkan lebih banyak masalah terutama kepada rakyat yang mahukan perkhidmatan terbaik daripada kita sebagai penjawat awam.

"Kegagalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam sudah tentu akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap penjawat awam dan kerajaan," katanya.

Berita Harian X