AYER KEROH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), hari ini.
Hadir sama, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, barisan ADUN dan ahli Parlimen serta ketua-ketua jabatan.
Majlis angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Sulaiman yang juga ADUN Lendu, melepaskan jawatannya kelmarin kerana masalah kesihatan.
Terdahulu, pengumuman Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari yang memaklumkan pelantikan itu berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka.
Perubahan tampuk pentadbiran Kerajaan Melaka berlaku susulan peletakan jawatan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 kerana masalah kesihatan.
Ab Rauf, 62, adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka sejak 2018 serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan November 2021, Ab Rauf yang kali pertama bertanding, menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara selepas memperoleh 3,559 undi dalam saingan tiga penjuru.
Anak jati kelahiran Masjid Tanah itu menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang memperoleh 3,195 undi dan calon Pakatan Harapan (PH) Zainal Hassan (489 undi).
Beliau kemudiannya dilantik sebagai EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri di bawah pentadbiran Sulaiman.
PRN Melaka itu diadakan berikutan empat ADUN kerajaan negeri diketuai bekas Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron sebelum itu menarik sokongan terhadap Sulaiman.
Dalam pilihan raya itu, Barisan Nasional (BN) menang besar selepas memperoleh 21 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Ab Rauf sebelum itu dilantik sebagai Speaker DUN Melaka pada 11 Mei 2020 ketika pertukaran kerajaan pada Mac 2020.
Sementara itu, pada Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian pada 18 Mac lalu, Ab Rauf menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dan dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 22 Mac lalu.
Ab Rauf mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram sebelum menyambung pendidikan di Institut Kemahiran MARA (IKM) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Ab Rauf Yusoh dinamakan sebagai calon Ketua Menteri menggantikan Sulaiman.
Sulaiman, 58, kali pertama mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada Mac 2020 selepas Barisan Nasional (BN) bersama rakan sekutu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH), pimpinan Adly Zahari.
Beliau kemudian dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas BN mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November 2021.
Semalam, Sulaiman dilaporkan berkata, tiada desakan atau paksaan daripada mana-mana pihak berhubung peletakan jawatannya itu.
Kelmarin di Muar, Ahmad Zahid berkata, Melaka dijangka mempunyai barisan EXCO kerajaan negeri yang baharu susulan penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Melaka bukan hanya mendapat Ketua Menteri yang baharu petang ini, malah barisan EXCO kerajaan negeri turut distruktur semula.
Katanya, pelantikan EXCO Kerajaan Melaka yang baharu itu akan diselesaikan menerusi semangat perpaduan.
"Saya adakan perbincangan kerana majlis angkat sumpah akan diadakan petang esok (hari ini) dan tentunya ia akan diikuti dengan penstrukturan semula barisan EXCO Kerajaan Melaka.
"Bagaimanapun, saya masih belum memperoleh senarai nama cadangan daripada Ketua Menteri Melaka yang baharu. Namun saya yakin semangat Kerajaan Perpaduan yang wujud pada peringkat nasional dapat diterjemahkan di Melaka," katanya.
Pada Isnin lalu, Ahmad Zahid memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pendekatan Kerajaan Perpaduan diharap dapat disebarkan luaskan di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, seterusnya diterima di negeri lain.
"Tentunya kita mengharapkan dalam enam PRN negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan kelak, perkara sama akan berlaku.
"Oleh itu, kita mesti membiarkan optik dan naratif yang baik bagi menyebar luaskan situasi pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat negeri," katanya.