KOTA BHARU: Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), hari ini turun padang menyantuni warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Pusat Shalis Care Centre, di sini.
Kumpulan 25 anggota skuad berkenaan turut membantu memberi khidmat fisioterapi kepada penghuni, selain bergotong royong membersihkan persekitaran kawasan dan berganding bahu menyediakan juadah berbuka untuk penghuni serta kakitangan pusat berkenaan.
Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda yang turut disertai selebriti, Shah Sulaiman serta lebih 20 penuntut Universiti Poly-Tech Mara (UPTM) Kota Bharu, juga mengagihkan kotak rezeki mengandungi barang keperluan asas dan beras, selain kerusi roda untuk kegunaan penghuni yang memerlukan.
Pengarah Urusan Shalis Care Centre, Shahzayati Che Hassan, berkata pihaknya berbesar hati dengan kunjungan Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda yang sudi menyantuni penghuni rumah kebajikan kendaliannya pada Ramadan kali ini
"Alhamdulillah, kami dapat melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah setiap penghuni dengan kehadiran skuad ini. Penghuni dilayan dengan pelbagai aktiviti, termasuk bermain congkak, dam papan dan teka-teki.
"Bagi proses fisioterapi, skuad dibantu jurupulih yang sedia ada berkhidmat di sini untuk menunjukkan cara yang betul ketika melakukan rawatan. Pada masa sama, kehadiran skuad ini mengubat kerinduan penghuni kepada keluarga dan anak-anak mereka.
"Kunjungan ini juga dapat membuka mata lebih banyak pihak untuk turut sama turun padang meraikan golongan ini," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Menurutnya, program sebegini memberi impak yang besar kepada pusat penjagaan seperti yang diusahakannya dan beliau berharap inisiatif sedemikian dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
Penghuni, Mohd Azman Shah Nik Yusuf, 73, meluahkan rasa gembira menerima kunjungan anggota skuad berkenaan yang disifatkannya seperti anak sendiri dan teruja dapat berbuka puasa bersama-sama.
"Saya tiada anak kerana tidak pernah berkahwin, jadi program hari ini benar-benar memberi erti buat saya. Kami bermain bersama-sama dan mereka (skuad) melayan saya dengan sangat baik.
"Terima kasih Media Prima sudi menyantuni kami di sini, semoga selepas ini ada lagi kunjungan sebegini," katanya.