KUALA LUMPUR: Kajian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kesihatan mental anggota dan pegawainya mendapati kebanyakan petugas mengalami tekanan dan cenderung membunuh diri disebabkan persekitaran tempat kerja serta status kesihatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia termasuk mengalami masalah penyesuaian di tempat baharu, gagal mengawal daya tindak diri, kesunyian kerana berjauhan dengan keluarga dan kekecewaan dalam perhubungan.
"Secara jujur dan terus terang kita akui kebelakangan ini ada kecenderungan dalam petugas polis yang bertindak membunuh diri, namun ia sudah dikesan seawal tahun 2015.
"Bagaimanapun, menerusi kajian penerokaan bunuh diri dalam kalangan warga polis untuk tempoh antara 2014-2018 terdapat tujuh kes bunuh diri, manakala tahun ini kita tahu ada kes bunuh isteri dan menembak diri sendiri.
"Jumlah ini masih dianggap kecil dan kes terpencil jika dibandingkan dengan 130,000 kekuatan anggota dengan tugas berat," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai langkah bagi memastikan isu kesihatan mental dapat dibendung dalam kalangan anggota polis, terutama yang memegang senjata api.