Khamis, 30 March 2023 | 10:31am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KDN kesan 151 kawasan berisiko tinggi penagihan dadah

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri mengenal pasti 151 kawasan berisiko tinggi penagihan dadah (KBT) di seluruh negara, termasuk kawasan bandar dan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata daripada jumlah itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan tujuh di Sarawak termasuk Kampung Tabuan Melayu, Matang, Kampung Haji Baki, Kampung Tanjung Bundong, Kampung Baru, Bekenu dan Batu Niah.

Katanya, kementerian menerusi AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited untuk membanteras gejala dadah dengan mengurangkan permintaan dan penawaran dadah.

"Pendekatan bersasar dengan pembabitan pelbagai pihak bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah dan bahan serta pelencongan sosial dilaksanakan menerusi Program Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi Penagihan Dadah. Sehingga Disember lalu, sebanyak 39 KBT dihijaukan dengan 71 peratus klien AADK kekal pulih," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan dikemukakan oleh Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai aktiviti yang dilakukan oleh pihak berwajib dalam membanteras kegiatan penagihan dadah di kawasan kampung dan rumah panjang serta langkah jangka panjang yang diambil bagi membendung gejala itu.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pelbagai program pencegahan, rawatan dan pemulihan, penguatkuasaan serta inisiatif dilaksanakan kementeriannya termasuk program pencegahan kepada kumpulan sasar seperti program Family On Alert (FOA), Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di jabatan kerajaan dan syarikat swasta.

"Selain itu ialah program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR) di sekolah rendah, program Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) di sekolah menengah, program Tomorrow Leader's di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS), program Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab (SMART) untuk belia dan program di tempat ibadah seperti di masjid dan gereja," katanya.

Berita Harian X