KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa proses reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara, dipercepatkan.
Ia susulan 'lampu hijau' diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada cadangan supaya SPRM termasuk pelantikan Ketua Pesuruhjaya badan itu, diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen, hari ini.
BERSIH dalam kenyataannya, menyambut baik kenyataan Anwar bahawa beliau bersetuju meletakkan SPRM di bawah Parlimen, selain proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya badan itu diteliti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).
"Perdana Menteri menyebut bahawa beliau 'tidak ada bantahan' untuk mereformasi proses pelantikan. BERSIH, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Transparency International-Malaysia (TI-M) antara badan yang mencadangkan mekanisme yang terperinci.
"Kami memahami bahawa sebarang mekanisme reformasi perlu melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan diteliti oleh JPKP.
"Kami juga berharap agar perkara ini dilakukan dengan telus dan membabitkan penyertaan pertubuhan masyarakat sivil," katanya.
Dalam pada itu, katanya BERSIH mengalu-alukan 'persetujuan' Perdana Menteri bahawa Jabatan Peguam Negara perlu dipisahkan daripada Pendakwa Raya.
"Pemisahan ini serta reformasi proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, perlu dipercepatkan untuk mengukuhkan autonomi institusi.
"Ia juga untuk menyingkirkan persepsi 'pendakwaan terpilih' yang dikenakan kepada mantan Perdana Menteri serta Ahli Parlimen pembangkang," katanya.
Melalui kenyataan itu, BERSIH turut memuji usaha Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk memperkasakan Parlimen, terutamanya bagi mencadangkan JPKP untuk pelantikan jawatan utama dalam agensi kerajaan seperti SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata kerajaan sedia menimbangkan cadangan supaya SPRM termasuk pelantikan Ketua Pesuruhjaya diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen berdasarkan proses disyorkan oleh JPKP.
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri tiada masalah mengenai perkara itu supaya keupayaan SPRM dapat dipertingkatkan dan tidak berdepan sebarang kekangan.
Beliau berkata demikian pada Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) sama ada kerajaan bersedia melaksanakan syor TI-M supaya SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Pada sesi soal jawab itu juga, Anwar dilaporkan bersetuju cadangan pemisahan fungsi Pendakwa Raya dan Peguam Negara walaupun rumit, mengambil masa dan mempunyai implikasi pertambahan perbelanjaan kerajaan.
"Saya setuju, tapi ia bukanlah pertimbangan utama kerana yang penting adalah memastikan satu proses pendakwaan yang lebih telus dan bebas," katanya ketika menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri).