Selasa, 28 March 2023 | 3:56pm

Kerajaan timbang syor SPRM, pelantikan KP diputuskan Parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia menimbangkan cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk pelantikan Ketua Pesuruhjaya diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen berdasarkan proses disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri tiada masalah mengenai perkara itu supaya keupayaan SPRM dapat dipertingkatkan dan tidak berdepan sebarang kekangan.

"Saya tidak fikir kita harus mengenakan perubahan semata-mata dengan syor ini, kita juga tentulah, …sebaik ada perkembangan, syor ini harus dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti.

"Ini supaya keupayaan SPRM itu akan dapat dipertingkatkan dan tidak ada kekangan dan campur tangan yang dibimbangi akan menjejaskan usaha pelaksanaan membanteras rasuah yang dianggap menjadi sistemik dalam negara kita," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) sama ada kerajaan bersedia melaksanakan syor Transperancy International Malaysia (TI-M) supaya SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat berdasarkan kewibawaan dan keupayaannya ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, sebaik sahaja mengambil alih tampuk kepimpinan negara, beliau memilih untuk tidak membuat pelantikan baharu bagi jawatan berkenaan bagi mengelak ia menimbulkan sebarang persepsi tidak baik.

"Saya nak jelaskan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu oleh Yang Berhormat Pagoh (Muhyiddin), yang diakui sebagai orang yang wibawa dan bebas oleh Pagoh. Soalnya sekarang, kalau ada pelantikan baharu atau penyambungan, apakah kaedah baharu dikenakan?

"Ia terserah kepada kemajuan yang dibuat oleh Parlimen. Sekiranya mekanisme proses seperti mana diputuskan dan dicadangkan oleh TI-M dan beberapa badan lain, diteliti tentunya oleh Jabatan Peguam Negara dan agensi kerajaan lain dan kemudian dipindahkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas.

"(Jika) proses itu sempat, maka saya tidak ada masalah tetapi proses itu haruslah dihormati," katanya.

PM Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - foto BERNAMA
PM Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - foto BERNAMA
Berita Harian X