Selasa, 28 March 2023 | 2:27pm

Pelan hala tuju peralihan tenaga dilancar Jun ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi akan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga negara selewat-lewatnya akhir Jun ini bagi mempercepat projek peralihan tenaga boleh baharu, sekali gus menstrukturkan semula ekonomi.

Menterinya, Rafizi Ramli, berkata langkah mempercepat peralihan tenaga kepada tenaga boleh baharu bukan saja menepati kehendak ekonomi global, malah menjamin kedudukan bekalan tenaga negara pada masa depan.

"Kita yakin akan menyuntik lebih banyak pelaburan ke Malaysia," katanya menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai inisiatif awalan membina semula ekonomi sebagai antara empat teras strategik utama dalam konsep Malaysia MADANI pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Rafizi berkata, tumpuan kerajaan juga terarah untuk mewujudkan ekosistem syarikat pemula yang lebih inklusif dan mampan dalam melonjakkan kadar inovasi kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, kewujudan ekosistem yang lebih baik daripada syarikat pemula dapat mengimbangkan antara insentif kerajaan dengan potensi supaya bakal penerima insentif mempunyai daya inovasi yang tinggi.

"Syarikat pemula yang mempunyai lonjakan inovasi yang lebih, akan memberi gambaran tahap ekonomi negara yang kita yakin boleh menarik lebih banyak pelaburan pada masa depan.

"Semua strategi ini akan dirangkumkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang sedang dilaksanakan dan akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini," katanya. – BERNAMA

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Berita Harian X