Isnin, 27 March 2023 | 1:01pm

Wajib pasang CCTV di taska, tingkat operasi pusat jagaan kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Tindakan mewajibkan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) kepada pengusaha taska yang berdaftar secara sah di negara ini adalah antara tiga penambahbaikan yang dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha meningkatkan operasi pusat jagaan kanak-kanak itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pemasangan CCTV di taska juga bagi membolehkan sebarang kejadian yang tidak diingini jika berlaku di premis itu dapat disiasat lebih terperinci.

"Selain itu, dengan adanya pemantauan CCTV ini boleh menjadikan semua pihak menjadi lebih bertanggungjawab menjalankan tugas mereka," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin mengetahui apakah langkah kerajaan bagi menangani masalah penderaan membabitkan kanak-kanak di Dewan Rakyat, hari ini.

Nancy berkata, penambahbaikan kedua yang dilakukan adalah pengasuh di taska diwajibkan menjalani latihan dan lulus ujian kursus didikan serta asuhan permata (KAP).

"Ini bagi memastikan pengasuh yang bertugas mempunyai kemahiran dalam mengendalikan kanak-kanak di bawah umur empat tahun.

"Kursus selama 28 hari atau 148 jam ini melengkapkan mereka bukan saja dari segi teori, malah juga dari segi amali," katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan ketiga ialah mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan penjaga untuk menghantar anak mereka ke taska yang berdaftar.

Katanya, ini disebabkan operasi taska yang berdaftar akan dipantau JKM mengikut prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya untuk keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

"Ibu bapa dan penjaga juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan lebih cakna terhadap perkembangan anak mereka. Sebagai contoh, melakukan pemeriksaan fizikal anak-anak sebelum dan selepas mereka dihantar ke taska.

"Sekiranya ada tanda mencurigakan, ibu bapa jangan gusar untuk tampil mendapatkan pandangan pakar seperti doktor perubatan dan pakar kaunseling," katanya.

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X