Isnin, 27 March 2023 | 11:13am
Datuk Onn Hafiz Ghazi
Datuk Onn Hafiz Ghazi

Johor lulus peruntukan tambahan RM60,000 untuk setiap ADUN

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM60,000 kepada setiap 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri berharap kesemua ADUN menggunakan peruntukan berkenaan sebaik-baiknya untuk manfaat rakyat dan bangsa Johor secara keseluruhannya.

Katanya, peruntukan membabitkan implikasi kewangan bernilai RM3.36 juta berkenaan akan disalurkan minggu ini.

"Sebelum mengakhiri penggulungan ini, izinkan saya berkongsi sedikit berita gembira untuk Ahli-ahli Yang Berhormat sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelma.

"Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk program Ramadan, manakala RM20,000 lagi untuk program Aidilfitri.

"Kerajaan Johor juga akan menambah lagi peruntukan sebanyak RM20,000 untuk menjayakan agenda Johor Bersih di kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Berita Harian X