Ahad, 26 March 2023 | 9:34pm
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menandatangani plak perasmian ketika merasmikan Masjid Tunku Azizah Iskandar Bentong, hari ini. - FOTO BERNAMA
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menandatangani plak perasmian ketika merasmikan Masjid Tunku Azizah Iskandar Bentong, hari ini. - FOTO BERNAMA

Raja Permaisuri Agong rasmi, namakan semula masjid

BENTONG: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini berkenan merasmikan dan menamakan semula Masjid Kampung Baru di sini sebagai Masjid Tunku Azizah Iskandar sempena nama baginda.

Turut berangkat ke majlis itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Tuanku Azizah ketika bertitah, menzahirkan penghargaan kerana diberi penghormatan merasmikan dan menamakan masjid itu, yang mula digunakan pada 2020 membabitkan kos RM5 juta.

"(Terima kasih) kepada kerajaan negeri juga kerana membina masjid yang begitu cantik ini," titah baginda yang turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak serta tarawih di masjid berkeluasan kira-kira 0.6 hektar yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun, ketika berucap memaklumkan dalam tempoh lima tahun bermula 2018, sebanyak 15 masjid baharu siap dibina di negeri itu membabitkan peruntukan RM58.4 juta.

Beliau berkata masih ada 16 masjid dalam pembinaan dengan peruntukan RM47.1 juta manakala 17 lagi akan dibina membabitkan kos RM80 juta. – BERNAMA

Berita Harian X