KLANG: DAP mahu mempertahankan semua kerusi yang pernah dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata 16 kerusi berkenaan adalah jumlah minimum dan bilangannya mungkin meningkat dalam PRN nanti.
"16 kerusi ini adalah kerusi yang disandang sebab itu saya meletakkan sasaran minimum sebanyak 16 kerusi untuk DAP bertanding pada PRN Selangor kali ini.
"Mungkin kita akan tambah kerusi kalau Menteri Besar beri sebab itu saya cakap (16 kerusi) itu minima," katanya dalam berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Selangor 2023 hari ini.
Anthony Loke berkata, DAP juga masih berunding dalam soal pengagihan kerusi dari semasa ke semasa sehingga sebelum hari penamaan calon dibuat dalam menghadapi PRN Selangor biarpun kini bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
"Kita akan bincang dengan Menteri Besar dan rakan-rakan pimpinan dan rundingan ini akan berterusan sehingga sebelum penamaan calon dibuat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari, pada sidang media berkata pihaknya yakin PH akan terus mengekalkan gabungan parti berkenaan untuk mentadbir negeri itu.
"(Saya yakin) 2,000 peratus. Kita semasa pilihan raya, dengan rasa keyakinan (berdasarkan) dengan semua servis kita, track rekod kita dan sebagainya," katanya.
Beliau turut memaklumkan pencapaian PH Selangor di semua peti undi merentasi semua bangsa termasuk undi Melayu di sesetengah kawasan dengan pencapaian diperoleh agak tinggi.
"Dapatan yang dibuat Dr Ong Kian Meng (Bendahari DAP Selangor) mendapati undi bukan Melayu kepada PH agak tinggi (pada PRU15).
"Undi orang Melayu juga tinggi untuk kita. Kalau tidak, takkan kita menang di Parlimen Gombak dan Ampang pada November lalu," katanya.