KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng mengingatkan Ketua ARMADA BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, bahawa membuat aduan polis palsu adalah satu jenayah.
Merujuk kepada laporan polis Wan Ahmad Fayhsal terhadap Perdana Menteri dan beliau sendiri berhubung isu membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary, Pengerusi DAP itu berkata laporan polis palsu adalah melanggar Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Guan Eng berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada yayasan berkenaan adalah palsu.
"Anwar bercakap benar apabila beliau berkata rekod dengan Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa sebagai Menteri Kewangan dari Mei 2018 hingga Februari 2020, saya tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary," katanya dalam kenyataan dimuat naik ke Facebook.
Beliau berkata Muhyiddin juga sehingga ini gagal menunjukkan bukti atau menunjukkan surat pembatalan daripadanya ketika menjadi menteri kewangan.
Guan Eng berkata Anwar betul menyatakan pembatalan status pengecualian cukai terletak pada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bukannya perdana menteri atau menteri kewangan.
Beliau berkata Seksyen 44 (6B) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang dipetik oleh Wan Ahmad Fayhsal merujuk kepada rayuan kepada menteri dan bukannya menteri yang memulakan pembatalan status dikecualikan cukai.
Guan Eng berkata beliau juga ketika menjadi menteri kewangan tidak berada dalam kedudukan untuk memutuskan sebarang rayuan kerana tiada satu pun dibuat oleh yayasan berkenaan kepadanya.
Justeru, katanya, ia menimbulkan persoalan sama ada terdapat sebarang pembatalan terhadap status pengecualian cukai yayasan itu seperti yang didakwa Muhyiddin.
"Jika ada pembatalan sedemikian, maka ia hanya boleh dilakukan semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri," katanya.
Beliau berkata Wan Fayhsal sepatutnya memujuk Muhyiddin untuk mengeluarkan sebarang bukti surat pembatalan oleh beliau kepada yayasan berkenaan.
"Jika Muhyiddin gagal berbuat demikian, maka kedua-dua Muhyiddin dan Wan Fayhsal membuat dakwaan kosong yang tidak berasas dan palsu," katanya.
Guan Eng mendakwa Wan Ahmad Fayhsal membuat laporan polis palsu terhadap Anwar dan dirinya kerana memalsukan maklumat, mengada-adakan bukti palsu, konspirasi jenayah dan fitnah.
"Saya telah memulakan tindakan jenayah dan sivil terhadap Muhyiddin kerana pembohongannya yang boleh menjejaskan muhibah kaum dan menjejaskan keharmonian agama.
"Wan Fayhsal harus berfikir panjang sebelum dia terjebak dalam keadaan yang sama seperti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan.
"Wan Fayhsal juga mendakwa dalam laporan polis yang dibuatnya bahawa Anwar telah keliru dan cuba mengelirukan Dewan Rakyat dengan menyokong dakwaan bahawa saya tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary," katanya.
Jelas Guan Eng, Wan Fayhsal silap kerana cuba membawa prosiding Parlimen kepada pihak polis dan tidak menghormati dan memahami prinsip keluhuran Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Polis atau mana-mana cawangan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk terlibat atau menyiasat perkara yang dibincangkan di Parlimen.
"Perkara perihal Parlimen hanya boleh diputuskan oleh Parlimen dan jika seseorang Ahli Parlimen tidak menjunjung prinsip ini ia menunjukkan beliau tidak layak menjadi ahli dewan rakyat," katanya.