JEDDAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menamatkan lawatan rasmi tiga harinya ke Arab Saudi hari ini, menganggap negara itu sebagai negara utama bagi Malaysia di rantau Asia Barat.
Ia adalah negara luar ASEAN pertama dilawati secara rasmi oleh Anwar sejak menyandang jawatan Perdana Menteri ke-10.
Bercakap pada sidang media di akhir lawatan rasminya, Anwar berkata, beliau amat menghargai undangan ke negara itu daripada kerajaan Arab Saudi.
Anwar berkata, Malaysia dan Arab Saudi menjalin hubungan akrab dalam hal diplomatik, urusan perniagaan, perbankan serta kegiatan Islam dan beliau mahu ia terus dipertingkatkan.
"Kita berharap melalui hubungan baik ini, Malaysia dapat memperoleh manfaat daripada beberapa gagasan baharu Arab Saudi yang akan menjadikannya bukan sahaja sebagai markas Haji dan Umrah, tetapi juga tahap pemacuan keilmuan dengan Wawasan 2030, yang digagaskan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud," katanya.
Sepanjang lawatan itu, Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam, di sini.
Selain itu, beliau menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (Muslim World League – MWL), Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa.
Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani tiga Perjanjian Persefahaman, membabitkan syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi
Perdana Menteri dan delegasi juga sempat menunaikan ibadah umrah di Makkah dan ziarah di Madinah serta beramah mesra dalam program iftar bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Makkah dan Madinah.
Anwar berkata, pimpinan Arab Saudi memohon beliau memanjangkan kunjungannya sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara yang baharu menukar jadual mereka menjelang Ramadan.
"Saya sambut baik pandangan ini tetapi agak dukacita kerana tidak dapat memenuhinya, termasuk pertemuan yang dijadualkan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota, kerana dijadualkan esok untuk majlis iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan sejurus selepas itu lawatan rasmi ke Kemboja," katanya.
Anwar dan delegasi berlepas ke Kuala Lumpur daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Abdulaziz, pada jam 12.30 pagi waktu tempatan hari ini.
Beliau dijadual mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja, 27 Mac ini. - BERNAMA