KUALA LUMPUR: Suntikan ubat Liraglutade, yang digunakan untuk mengawal berat badan boleh membatalkan puasa kerana ia bersifat memberi tenaga (mughazzi).
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata salah satu daripada rawatan terbaharu untuk mengurangkan gula dan juga memberi manfaat kepada tekanan darah, paras kolestrol dan fungsi pankreas adalah dengan menggunakan hormon Glucagon Like Peptide 1 (GLP-1) agonists.
Katanya, fungsi hormon GLP-1 membantu pankreas supaya mengeluarkan insulin secara optimum.
"Insulin itu pula sebagai pembawa gula dalam darah untuk diedarkan ke dalam tisu badan sebagai tenaga.
"Justeru, ia dikira sebagai suntikan yang memberi tenaga kepada manusia," katanya dalam satu laman web puasa, Ramadan, soal jawab agama, semalam.
Katanya, sebagai langkah berhati-hati jika pesakit memerlukannya, mungkin suntikan itu boleh dibuat pada malam hari di bulan Ramadan, dengan pandangan dan nasihat doktor.
Liraglutade disuntik pada bahagian perut, meningkatkan rasa kenyang dan puas dengan mengaktifkan bahagian tertentu otak yang mengawal selera lantas mengurangkan pengambilan makanan atau kalori seterusnya menurunkan berat badan.
Bagaimanapun, hanya golongan dewasa yang mengalami obesiti dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 27 kilogram/meter padu (kg/m2) atau BMI melebihi 30 kg/m2, selain mengalami penyakit seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes jenis dua atau apnea tidur obstruktif (dengkur) sesuai menggunakannya.