KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan pihaknya turut terbabit dalam kajian undang-undang berkaitan judi yang kini dijalankan Kementerian Kewangan (MOF) bagi tujuan penambahbaikan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pendekatan itu untuk memastikan supaya undang-undang berkaitan perjudian yang digubal atau ditambah baik, sentiasa berada selaras dengan perkembangan semasa.
"Meneliti undang-undang berkaitan judi sedia ada bagi tujuan pindaan penambahbaikan bagi memastikan undang-undang ini relevan dengan perubahan modus operandi sindiket perjuangan ini, terutamanya perjudian dalam talian," katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang meminta menteri menyatakan jumlah tangkapan dan langkah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membanteras kegiatan judi dalam talian serta tindakan menangani isu itu.
Sementara itu, Saifuddin berkata PDRM menahan 11,460 individu yang terbabit kegiatan judi dalam talian melalui 8,154 serbuan dijalankan tahun lalu hasil kerjasama bersama SKMM.
Ia antara langkah diambil dan dirancang PDRM untuk membanteras judi dalam talian termasuk mengadakan operasi dan serbuan secara berterusan melalui 'Ops Dadu' dan kerjasama bersepadu dengan agensi serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Ogos 2022 sebanyak 39 permohonan pembatalan lesen perniagaan dibuat dan daripada jumlah itu, sebanyak 22 premis perniagaan dibatalkan lesen perniagaan," katanya.
Menerusi kerjasama dengan SKMM bagi menyekat laman web perjudian di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi Multmedia, beliau berkata, sebanyak 2,397 permohonan sekatan sepanjang tempoh 1 Januari 2012 hingga awal tahun ini, dihantar kepada suruhanjaya itu.
Selain sekatan, beliau berkata langkah itu untuk menyekat iklan dan promosi judi dalam talian.
Pada masa sama, beliau berkata, KDN turut bekerjasama dengan syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat bekalan air untuk tindakan pemotongan bekalan elektrik serta air.
Tindakan itu tegasnya, diambil terhadap premis yang sering digunakan sindiket perjudian.
"Kita mengambil tindakan ke atas pihak yang terbabit kegiatan ini termasuklah penjaga premis dan penganjur kegiatan perjudian haram di bawah peruntukan undang-undang berkaitan judi sedia ada seperti Akta Rumah Judi Terbuka 1957 dan Akta Pertaruhan 1953.
"Selain itu, tindakan lebih keras juga akan diambil di bawah peruntukan undang-undang lain yang berkaitan iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya.