KUALA LUMPUR: Jumlah cubaan serangan laman sesawang yang semakin meningkat direkodkan CyberSecurity Malaysia (CSM) menyebabkan peruntukan kepada agensi itu ditingkatkan daripada RM9 juta pada 2022 kepada RM23 juta pada tahun ini.
Bagi tempoh lima tahun hingga 2021, sebanyak 800,000 cubaan serangan laman sesawang dikesan CSM.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata cubaan serangan siber semakin berleluasa di negara ini dan ia menimbulkan situasi membimbangkan kerana membabitkan kerugian kepada negara.
Beliau berkata, pada Januari dan Februari lalu, lebih 1,700 kes aduan panggilan scammer diterima setiap bulan dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) memaklumkan ia membabitkan kerugian RM27 juta.
"CSM adalah agensi teknikal yang membantu banyak agensi kerajaan dan swasta menangani pelbagai serangan siber yang semakin serius.
"Oleh itu, peruntukan untuk CSM ditingkatkan kepada RM23 juta yang akan digunakan untuk tiga elemen baharu agensi itu, antaranya elemen proses, program pergerakan pemerkasaan keselamatan siber dan program pensijilan keselamatan digital dan privasi.
"Kita harap melalui usaha ini kita boleh tambah baik keselamatan siber dan saya nak jelaskan peruntukan RM23 juta itu tidak termasuk RM10 juta yang diberikan kepada NSRC," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sementara itu, Nie Ching berkata, KKD memohon lebih banyak peruntukan diberi bagi Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) sebagai usaha kerajaan menarik pelabur menjalankan aktiviti perfileman di negara ini.
Beliau berkata, ini kerana peruntukan disediakan tahun ini lebih rendah iaitu RM25 juta berbanding bayaran komitmen pada tahun ini iaitu RM75.5 juta merangkumi 39 projek.