Rabu, 22 March 2023 | 9:55pm

Kertas siasatan berhubung Tommy Thomas masih di tangan SPRM

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan dakwaan campur tangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, dalam isu pelantikan hakim-hakim mahkamah masih belum dirujuk kepada Peguam Negara untuk penelitian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata namun siasatan berhubung dakwaan itu sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Satu aduan sudah dibuat kepada SPRM mengenai perkara ini dan siasatan sedang dijalankan pihak SPRM.

"Setakat ini kertas siasatan berkenaan masih belum dirujuk kepada Peguam Negara untuk penelitian bagi melihat sama ada wujud perlanggaran undang-undang dan mendakwa mana-mana pihak yang berkaitan di mahkamah," katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PAS-Besut) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang sudah diambil oleh kerajaan bagi menyiasat dakwaan campur tangan bekas Peguam Negara dalam isu perlantikan hakim-hakim mahkamah.

Oktober tahun lalu, pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Tommy Thomas dalam laporannya mendedahkan bahawa Tommy semasa menjadi peguam negara mahu Tun Dr Mahathir Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri ketujuh 'menurut arahannya dengan cara bertentangan undang-undang' dalam melantik tiga peguam sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Laporan pasukan petugas khas turut menyatakan Tommy mempunyai 'kepentingan yang kuat' dalam pelantikan hakim.

Berita Harian X